Isu SemasaTempatan

#MeToo Cetuskan Perkongsian Cerita Mengenai Serangan Seksual

Berjuta-juta wanita di seluruh dunia telah berkongsi pengalaman mereka mengenai gangguan dan serangan seksual  dalam kempen di atas talian menggunakan hashtag #MeToo  di Twitter dan Facebook.

Kempen media sosial itu dicetuskan oleh pelakon wanita Alyssa Milano, yang meminta pengikutnya membalas menggunakan perkataan “Me Too” jika mereka pernah mengalami gangguan atau serangan seksual. 

Pergerakan itu adalah respons terhadap tuduhan penderaan seksual terhadap usahawan filem Harvey Weinstein. Tetapi beliau telah menafikan segala hubungan seks tanpa persetujuan.

Video asal Milano menerima lebih daripada 37,000 komen, dan hashtag tersebut merupakan salah satu trend tertinggi di Twitter di negara Britain dan Amerika Syarikat. Di Facebook, sekitar 7 juta orang telah membincangkan hashtag “Me Too” pada petang Isnin.

Antara artis industri hiburan ternama yang telah mengambil bahagian ialah penyanyi “Artpop” Lady Gaga, pelakon yang memenangi Oscar, Anna Paquin dan pelakon wanita “Westworld”, Evan Rachel Wood, yang telah mendedahkan bahawa mereka telah diperkosa oleh individu yang tidak dinamakan.

Beberapa lelaki juga mengatakan mereka telah menjadi mangsa serangan seksual, salah satu daripadanya merupakan bintang muzik Broadway “Hamilton,” Javier Munoz. Mereka telah berkongsi cerita mereka di media sosial.

“Saya tidak tahu sama ada ia bermakna ataupun tidak kerana ia datang daripada seorang lelaki gay, tetapi ia berlaku,” katanya.

Di Perancis, wartawan Sandra Muller, mencetuskan pergerakan yang sama menggunakan hashtag #balancetonporc dan dalam bahasa Inggeris, #squealonyourpig (jerit pada babi anda).

Wartawan radio Anais Dent merupakan salah seorang daripada mereka yang berkongsi kisahnya, beliau menulis: “Praktikal pertama saya di Paris, saya berumur 18 tahun. Ketua editornya mencium saya tanpa kebenaran saya, dia baru sahaja mendapat anak. #balancetonporc.”

Sebagai tanda bahawa toleransi terhadap tindakan sedemikian semakin merosot di Perancis, Presiden Emmanuel Macron berkata beliau telah mengambil tindakan supaya Weinstein dilucutkan daripada pangkat Legion d’Honneur, iaitu anugerah tertinggi Perancis.

Beberapa wanita mengatakan Weinstein membuat serangan seksual terhadap mereka sejak tahun 1980-an.

Reuters melaporkan, Jabatan Polis New York sedang menyiasat dakwaan serangan seksual oleh Weinstein pada tahun 2004.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker