Hiburan

Lost In KL Cabar Keberanian Peserta

Lost in KL merupakan permainan meloloskan diri daripada hantu sama seperti Escape Room yang pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu.

Deretan foto-foto lama berwarna hitam dan putih serta hiasan dinding dengan motif tengkorak pada ruang bilik ternyata berjaya mencetuskan perasaan seram tatkala memasuki premis yang terletak di Subang Jaya itu.

Menariknya, Lost in KL menawarkan cabaran berbeza apabila menambah elemen seram dan hantu pada permainannya, menjadikan ia sebagai tarikan terbaharu bagi individu yang gemarkan aktiviti riadah bagi menguji kehebatan minda dan adrenalin.

Sebelum memulakan permainan interaktif lolos diri ini, peserta perlu memilih satu daripada enam tema seram yang ditawarkan. Antara bilik yang ada termasuklah karakter hantu popular Annabelle, rumah terbiar, hantu Cina, zombi dan roh yang tidak tenteram.

Setiap bilik menawarkan tema dan tahap kesukaran yang berbeza, manakala masa yang diberikan untuk melengkapkan cabaran adalah selama satu jam.

Selepas memilih tema yang diinginkan, peserta akan dibekalkan dengan sebuah telefon bimbit yang boleh digunakan untuk membuat panggilan kecemasan atau meminta pertolongan dan permainan akan bermula sebaik sahaja muzik dimainkan.

Dengan bantuan pencahayaan malap, semua peserta akan bertungkus lumus untuk mencari petunjuk bagi membolehkan mereka membuka pintu bilik seterusnya menamatkan cabaran dalam tempoh masa yang diberi.

Selain menakutkan, proses mencari petunjuk untuk keluar daripada bilik dengan selamat juga agak sukar kerana peserta perlu menggunakan logik dan kebijaksanaan dalam menyelesaikan misi.

Alunan muzik seram juga dimainkan sepanjang tempoh permainan bagi menyuntik elemen seram kepada peserta. Laluan bagi meloloskan diri juga benar-benar mencabar kebolehan peserta dan pengalaman ini adalah sesuatu yang tidak boleh dirasai di tempat lain.

Dibuka pada awal tahun lalu, Lost in KL adalah permainan lolos diri dengan tema menyeramkan yang pertama seumpamanya di Malaysia, lapor Kosmo.

Permainan ini direka dengan pendekatan unik apabila menawarkan jalan cerita dan dekorasi bilik yang benar-benar menepati tema yang dikehendaki supaya rasa seram itu sampai kepada pengunjung.

Bagi mendapatkan efek serta dekorasi yang menepati tema, Lost in KL menelan belanja sekitar RM500,000. Penggunaan sistem bunyi dan semburan asap yang digunakan ternyata berjaya menaikkan bulu roma pengunjung yang ingin mencabar keberanian mereka.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker