AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Sobchak Presiden Wanita Rusia Yang Pertama?

Ksenia Sobchak, seorang wartawan dan bekas pengacara di Rusia telah membuat pengumuman mengejutkan mengenai hasratnya untuk bertanding sebagai Presiden negara itu dalam pilihan raya 2018 tahun depan.

“Nama saya adalah Ksenia Sobchak. Saya akan bertanding untuk (jawatan) presiden,” tulisnya di sebuah laman web.

Sebelum ini, pilihan raya di Rusia membolehkan pengundi untuk menandakan kotak pilihan “tiada di atas” sekiranya mereka menolak semua calon yang bertanding.

Oleh itu, slogan bagi kempen pilihan raya Sobchak ialah “Saya adalah calon yang ‘tiada di atas'”.

Memetik laporan AFP, pilihan raya di Rusia membenarkan pengundi untuk menanda kotak yang bertulis “tiada yang di atas” untuk menolak semua calon yang bertanding.

“Seperti setiap rakyat Rusia, saya mempunyai hak untuk bertanding jawatan presiden. Saya telah memutuskan untuk menggunakan hak tersebut,”  kata wanita berusia 35 tahun itu.

Sebagai calon bebas, Sobchak perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 300,000 tandatangan sokongan daripada orang ramai.

Walau bagaimanapun, presiden Vladimir Putin masih belum membuat sebarang pengumuman sama ada beliau akan bertanding atau tidak dalam pilihan raya nanti bulan Mac 2018 itu nanti.

Dalam sepucuk surat yang disiarkan di laman web Vedomosti business daily, Sobchak berkata, beliau sedar bahawa dirinya akan dilihat sebagai “calon bukan pilihan” orang ramai.

Tetapi, wartawan itu tetap berikrar untuk menyokong pemimpin pembangkang, Alexei Navalny dan memperjuangkan haknya untuk turut bertanding dalam pilihan raya.

Difahamkan, pihak berkuasa pilihan raya menyatakan bahawa Navalny tidak layak dan digantung daripada bertanding kerana menjalani hukuman akibat melakukan penipuan.

“Saya akan terlibat dalam pilihan raya bukan hanya sebagai calon, tetapi sebagai suara bagi mereka yang tidak dapat menjadi calon.

“Saya menentang revolusi. Tetapi saya adalah seorang orang tengah dan penganjur yang bagus,” katanya.

Selain itu, bapa Sobchak, Anatoly Sobchak merupakan datuk bandar Saint Petersburg yang amat popular pada tahun 1990an, di mana beliau juga adalah mentor kepada Putin.

Wanita berambut perang itu juga mengejutkan seluruh negara apabila menyertai sebuah protes yang dianjurkan oleh pembangkang untuk membantah pilihan raya Putin yang didakwa mempunyai unsur-unsur penipuan.

Beliau juga cuba untuk menyampaikan mesej-mesej daripada protes itu menerusi perbincangan di program MTV Rusia, di mana Sobchak merupakan pengacara dalam rancangan tersebut.

Namun, program itu dihentikan selepas hanya satu episod apabila Sobchak cuba mempelawa Navalny sebagai tetamu dalam rancangan tersebut.

“Setelah 5 tahun berlalu sejak protes pada 2012, pandangan politik saya sememangnya telah menjadi semakin kuat.

“Saya bersedia untuk mengisytiharkan dan berdiri teguh (dengan pandangannya) di apa sahaja peringkat, walaupun ia peringkat yang tertinggi,” tegasnya.

Jadi, apa kata belia? Adakah Ksenia Sobchak calon yang layak untuk menjadi presiden Rusia? Dan adakah Sobchak mampu menewaskan Presiden Vladimir Putin sekiranya beliau bertanding dalam pilihan raya akan datang?

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker