AntarabangsaIsu Semasa

Berapa Kos Untuk Membebaskan Bandar Marawi Daripada Militan?

Baru-baru ini, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte telah mengisytiharkan bahawa Bandar Marawi akhirnya bebas daripada cengkaman kumpulan militan, susulan kematian dua orang pemimpinnya iaitu Isnilon Hapilon dan Omar Maute.

Walau bagaimanapun, masih terdapat lagi beberapa orang anggota militan gabungan Abu Sayyaf dan Maute yang telah bersumpah taat setia dengan IS yang diburu oleh pihak berkuasa.

Tetapi, pernahkah anda terfikir, berapa banyak wang yang telah dibelanjakan oleh kerajaan negara itu untuk membebaskan Marawi?

Pada hari Rabu (18 Oktober 2017), kerajaan Filipina mengumumkan bahawa mereka telah membelanjakan sebanyak AS$ 97.1 juta (RM 410 juta) untuk usaha tersebut.

Menurut Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana, perbelanjaan kerajaan untuk peluru, minyak, makanan dan elaun tentera sedang meningkat memandangkan operasi ketenteraan masih dijalankan untuk memburu kira-kira 20 orang militan lagi di Bandar itu.

“Jabatan Belanjawan dan Pengurusan telah memperuntukkan (dana) untuk membantu penduduk kehilangan tempat tinggal, membina semula rumah, dan pembaikan jambatan sehingga akhir tahun ini,” katanya.

Memetik laporan Inquirer News, Lorenzana turut menyatakan bahawa kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya AS$ 194.42 juta (RM 821.1 juta) bagi tujuan pemulihan semula bandar Marawi menjelang tahun 2018.

Felino Palafox Jr., seorang arkitek terkemuka di Filipina yang mempunyai pengalaman luas dalam memulihkan semula bandar yang terjejas akibat bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan lain-lain, berikrar untuk membantu pembinaan semula Marawi.

Palafox Jr menyifatkan keadaan di Marawi selepas ditakluk oleh militan merupakan insiden yang terburuk yang pernah dialami oleh beliau sepanjang hidupnya.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Marawi, Majul Usman Gandamra menganggarkan fasa pemulihan bandar itu akan mengambil sekurang-kurangnya 3 tahun.

Walau bagaimanapun, Palafox mempercayai bahawa ia akan memakan masa 70 tahun untuk mengembalikan bandar itu kepada keadaan asalnya sebelum serangan yang berlaku pada 23 Mei.

“Tempat-tempat ibadah, pendidikan, dan bangunan-bangunan penting mungkin dapat dipulihkan. Bangunan yang rosak, ia boleh dikekalkan, terutamanya bangunan yang penuh dengan peluru supaya ia boleh dijadikan sebagai pengajaran di masa depan bagaimana keganasan boleh memusnahkan bandar yang aman,” kata Palafox.

Sementara itu, pihak tentera juga memberi jaminan bahawa tiada seorang pun anggota pengganas yang akan keluar dengan selamat selepas mereka digesa untuk menyerah diri.

“Kami menggesa mereka (pengganas) supaya menyerah diri. Satu-satunya cara untuk keluar dalam keadaan hidup adalah dengan menyerah diri,” kata ketua tentera, Eduardo Año.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker