AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Apakah Visi Presiden Xi Jinping Untuk “Era Baru” China?

Pada 18 Oktober 2017 (Rabu), Presiden China, Xi Jinping telah menggariskan visinya untuk pembangunan negara itu bagi tempoh 5 tahun yang akan datang di kongres Parti Komunis yang ke-19.

Dalam ucapannya yang berlangsung selama 3 jam setengah, Xi menyatakan bahawa situasi dalaman dan luaran yang dihadapi oleh China sedang mengalami perubahan rumit yang perlu ditangani oleh parti pemerintah.

Memetik laporan South China Morning Post, beliau berikrar untuk meningkatkan bimbingan ideologi di dalam parti, mengukuhkan kempen anti-rasuah, mengekalkan ‘cengkaman’ kerajaan terhadap Hong Kong dan Macau, serta membantah sebarang langkah untuk kemerdekaan Taiwan.

Selain itu, apakah visi dan matlamat yang ingin dicapai oleh Xi untuk China pada masa akan datang?

1. NAMA BARU FALSAFAH POLITIK XI

Xi berkata, China telah membentuk “sosialisme dengan ciri-ciri Cina untuk era baru.” Idea ini akan menjadi prinsip panduan bagi pembangunan negara untuk tahun-tahun yang akan datang.

Konsep tersebut dikeluarkan di tengah-tengah spekulasi mengenai bagaimana pemikiran politik Xi akan diterapkan ke dalam perlembagaan parti.

Difahamkan, terdapat 14 elemen disebalik konsep itu, di mana satu perkara penting menekankan supaya parti tersebut perlu memimpin dalam setiap aspek kehidupan di China.

Menurut beliau, impian untuk peremajaan negara hanya akan menjadi ‘fantasi’ tanpa kepimpinan Parti Komunis.

Ujar Xi, parti tersebut perlu memimpin dalam setiap bidang dan pihak berkuasa kepimpinan parti pusat perlu dihormati.

2. MENJADI PENGARUH GLOBAL TERKEMUKA MENJELANG 2050

Presiden Xi turut menggariskan beberapa matlamat yang perlu dicapai untuk 30 tahun yang akan datang dan seterusnya.

Menurut beliau, fasa pertama perlu dicapai daripada tahun 2020 sehingga 2035.

China menyasar untuk menjadi sebuah negara berinovasi yang utama di dunia menjelang 2035 dengan populasi pendapatan sederhana yang lebih besar dan jurang kekayaan yang lebih kecil.

Daripada 2035 sehingga 2050 pula, China perlu menjadi sebuah negara yang mendahului pengaruh global.

3. MENINGKATKAN LAGI MOMENTUM KEMPEN ANTI-RASUAH DAN MENGEKALKAN PEMERINTAHAN BERLANDASKAN UNDANG-UNDANG

China akan menubuhkan sebuah pasukan utama untuk menjalankan pemerintahan secara menyeluruh yang berpandukan undang-undang.

Xi kerap mengulangi konsep tersebut di dalam ucapannya dan berikrar bahawa parti dan kerajaan akan memerintah negara berlandaskan undang-undang dan melalui pengawasan orang awam.

Tegas beliau, tiada sesiapa pun yang boleh meletakkan diri mereka melebihi undang-undang dan China juga perlu berhati-hati dengan sebarang cubaan untuk meniru demokrasi gaya Barat.

Presiden itu turut memberi amaran keras kepada delegasi-delegasi yang berada di Dewan Besar Rakyat mengenai gejala rasuah.

Beliau berkata, China tidak akan bertoleransi terhadap rasuah dan kerajaan juga telah mengambil langkah tegas dalam memerangi gejala tersebut.

4. MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN NEGARA

Presiden Xi berkata, kemampuan China untuk menangani isu keselamatan negara perlu ditingkatkan kerana selaras dengan kesungguhan dan ketegasan mereka dalam melindungi kedaulatan dan kepentingan negara.

China juga telah melakar sejarah baru dalam mengukuhkan pertahanan negara dan pembaharuan ketenteraan.

Tentera laut telah melindungi kepentingan maritim negara dan pihak tentera juga telah meningkatkan keupayaan senjata mereka.

Bagi tahun-tahun yang akan datang, China akan terus menekankan integrasi di antara orang awam dan sektor tentera.

Tentera Pembebasan Rakyat juga akan menjadi pasukan “berkelas dunia” menjelang tahun 2050, dan China turut menentang perpecahan di bawah nama agama atau pemahaman ekstremis.

5. MENEGAKKAN KUASA KERAJAAN PUSAT KE ATAS HONG KONG DAN MACAU SERTA MEMBANTAH KEMERDEKAAN TAIWAN

Xi berkata, prinsip “satu negara, dua sistem” tidak akan berubah atau diputarbelitkan di Hong Kong dan kuasa kerajaan pusat ke atas dua Kawasan Pentadbiran Khas (Hong Kong dan Macau) tidak boleh diganggu.

Mengenai Taiwan, beliau menyatakan bahawa Beijing telah menangani keadaan yang tidak menentu di pulau itu dengan baik dan akan terus menentang sebarang langkah Taiwan untuk menuntut kemerdekaan.

6. MEMBERI LAYANAN ADIL KEPADA SEMUA PERNIAGAAN

Dari aspek perniagaan, Xi menjelaskan bahawa China akan memberikan layanan yang adil terhadap semua perniagaan.

“China yang telah dibuka tidak akan tutup, tetapi akan membuka lebih luas,” katanya.

Lima tahun lalu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu telah meningkat daripada AS$ 8.4 trilion (RM 35.5 trilion) kepada AS$ 12 trilion (RM 50.1 trilion) dan kerajaan menyasarkan pertumbuhan ekonomi yang lebih berkualiti tinggi dan berterusan.

7. MELINDUNGI KEPENTINGAN AWAM

Menangani kemiskinan amat penting bagi China untuk menjadi masyarakat sederhana yang makmur.

Ujar Xi, semua wilayah yang berada di bawah garis kemiskinan perlu keluar daripada kedudukan itu menjelang tahun 2020.

Beliau juga berikrar untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk graduan kolej serta pekerja asing.

Bercakap mengenai peningkatan harga rumah, Xi menegaskan bahawa rumah adalah tempat untuk hidup, bukan untuk spekulasi.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker