AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Keamanan Di Selatan Filipina Masih ‘Jauh’

Kumpulan pemberontak Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Filipina sedang berunding bersama kerajaan negara itu untuk mencapai perdamaian di Filipina Selatan.

Awal bulan ini, seramai 12 orang wartawan antarabangsa, termasuk wartawan The Star, telah dipelawa oleh Ghazali Jaafar, naib pengerusi MILF, untuk diberi taklimat mengenai kesukaran dan cabaran yang dihadapi oleh mereka dan juga proses untuk mencapai perdamaian di wilayah yang bergolak itu.

“Sekiranya semua inisiatif politik gagal, jadi kita akan berjuang semula,” kata Jaafar dalam nada yang lembut, tetapi tegas.

Menurut kolumnis The Star, Brian Martin, perkara utama dalam proses perdamaian ini adalah Undang-undang Asas Bangsamoro atau Bangsamoro Basic Law (BBL).

Ia merupakan sebuah rang undang-undang (RUU) yang sedang didebatkan di kongres dan jika diluluskan, ini akan mewujudkan sebuah badan politik berautonomi baru yang akan menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM).

Ini bermakna, Bangsamoro (penduduk Moro) akan diberi hak untuk mentadbir kawasan mereka sendiri.

 

PERTEMPURAN BANDAR MARAWI

Peperangan di Marawi telah memasuki bulan keempat, walaupun Presiden Rodrigo Duterte telah memberi jaminan bahawa ia sepatutnya tamat pada bulan September.

Lebih daripada 800 orang telah terbunuh dalam pertempuran di antara pasukan keselamatan Filipina dan kumpulan militan itu, dan juga menyebabkan kerosakan dan kemusnahan bangunan-bangunan di bandar tersebut.

Insiden itu juga mencetuskan krisis kemanusiaan, di mana lebih daripada 400,000 penduduk telah kehilangan tempat tinggal.

Walau bagaimanapun, pertempuran di Marawi merupakan insiden terbaru di wilayah Mindanao.

 

KONFLIK SEJAK 400 TAHUN LALU

Mindanao telah dibelenggu konflik bersenjata sejak 400 tahun dahulu lagi. Islam telah pun bertapak di sana pada waktu itu dengan mentadbir wilayah itu dengan sistem pentadbiran kesultanan, dan Mindanao adalah satu-satunya wilayah yang berjaya menggagalkan usaha penjajah Sepanyol untuk menakluk kawasan itu pada abad ke-16.

Kemudian pada tahun 1898, Perang Sepanyol-Amerika telah mengubah keadaan di Mindanao. Amerika telah meluluskan beberapa undang-undang tanah yang menyebelahi penduduk dan syarikat-syarikat swasta dengan mengetepikan penduduk Moro.

Selepas Filipina mencapai kemerdekaan, beberapa program penempatan semula tanah memburukkan lagi keadaan dan pengisytiharan undang-undang tentera pada tahun 1972 oleh bekas Presiden Ferdinand Marcos menjadikan konflik itu daripada pemberontakan biasa kepada peperangan besar-besaran.

Ghazali dan pengerusi MILF, Hashim Selamat, merupakan sebahagian daripada sebuah pertubuhan politik bergelar Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang turut berjuang pada waktu itu, tetapi mereka tidak berpuas hati dengan haluan MNLF di bawah pimpinan Nur Misuari.

Oleh itu, Ghazali dan Hashim berpecah daripada MNLF pada tahun 1977 dan kemduian menubuhkan MILF.

Sejak itu, mereka telah terlibat dalam pelbagai konflik dengan pasukan keselamatan, dan antara peristiwa yang terburuk berlaku pada tahun 2000, apabila bekas Presiden Joseph Estrada mengisytiharkan perang terhadap MILF, sehingga menyebabkan lebih dariapada 1 juta orang kehilangan tempat tinggal.

 

KEMUNCULAN KUMPULAN LAIN

Sejak tahun 2010, MILF inginkan gencatan senjata, tetapi proses yang terlalu perlahan untuk mencapai autonomi penuh telah menyebabkan kemunculan kumpulan-kumpulan pemberontak dan pengganas yang baru, seperti Maute, Abu Sayyaf, cabang baru MILF iaitu Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF), dan juga Jemaah Islamiyah.

Namun, Ghazali yakin bahawa kumpulan-kumpulan lain akan ‘meletakkan senjata mereka’ sekiranya BBL diluluskan di kongres.

“Kami sedang berunding dengan pemimpin kumpulan-kumpulan ini. Selepas RUU itu diluluskan, rancangan kami adalah untuk membubarkan semua kumpulan dan bergabung dengan MILF untuk membentuk sebuah Parti Keadilan Bersatu Bangsamoro (United Bangsamoro Justice Party) yang akan menyediakan kepimpinan politik untuk Mindanao,” kata Ghazali.

 

PENGARUH MILITAN IS SEMAKIN BERKEMBANG

Walau bagaimanapun, pengaruh kumpulan militan IS telah berkembang luas di selatan Filipina sejak tahun 2014.

Malah, kerajaan negara itu juga telah mengenal pasti 20 sel-sel pengganas lain yang diinspirasikan oleh IS sedang beroperasi di sana.

Agensi berita Filipina, Inquirer memetik Ketua Peguam Cara, Jose Calida sebagai berkata, sel-sel pengganas ini telah melancarkan pelbagai serangan di Basilan, Sulu, Tawi-Tawi, Zamboanga dan Davao.

Objektif utama mereka adalah untuk ‘menghapuskan’ kesetiaan Mindanao terhadap kerajaan Filipina.

Menurut Calida, ini membuktikan bahawa matlamat kumpulan-kumpulan ini bukan semata-mata untuk menimbulkan ketakutan terhadap penduduk, tetapi juga untuk menubuhkan kubu kuat mereka di wilayah Mindanao.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker