AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Serangan Bom Somalia Terburuk Sejak Tahun 2007

Insiden pengeboman yang berlaku di Somalia baru-baru ini merupakan yang terburuk sejak kumpulan militan al Shabaab memulakan pemberontakan pada tahun 2007.

Lebih daripada 300 orang dilaporkan telah terkorban selepas letupan bom berkembar di Mogadishu, iaitu ibu kota negara itu dan setakat ini, tiada sebarang pihak yang mengaku bertanggungjawab sebagai dalang di sebalik serangan berkenaan.

“Kami telah mengesahkan bahawa 300 orang terkorban dalam letupan itu. Jumlah kematian masih tinggi kerana terdapat sesetengah orang yang masih hilang,” kata Abdikadir Abdirahman, pengarah perkhidmatan ambulans di Mogadishu.

Perdana Menteri Somalia, Mohamed Abdullahi Mohamed Farmaajo telah mengisytiharkan hari berkabung selama tiga hari selain daripada menyeru orang ramai untuk menderma darah dan memberi sumbangan dana kepada mangsa yang terlibat.

 

BANYAK MAYAT TIDAK DAPAT DIKENAL PASTI

Aden Nur, seorang doktor di Hospital Madina di bandar itu berkata, pihaknya telah merekodkan 258 kematian sementara seorang jururawat bernama Ahmed Ali daripada hospital Osman Fiqi pula menyatakan bahawa sebanyak 5 mayat telah dihantar ke hospitalnya.

Lebih menyedihkan, 160 daripada semua mayat tidak dapat dikenal pasti identiti mereka.

“(Mereka) dikebumikan oleh pihak kerajaan semalam (Ahad, 15 Oktober 2017). Mayat lain dikebumikan oleh saudara mara mereka. Lebih daripada seratus mangsa yang tercedera juga di bawa ke sini (hospital),” kata Nur kepada agensi berita Reuters.

Dalam pada itu, menurut pegawai kerajaan, sesetengah daripada mangsa yang tercedera telah dibawa ke Turki menggunakan pengangkutan udara untuk menerima rawatan.

Hospital Madina juga dibanjiri oleh penduduk yang melawat ahli keluarga mereka tercedera atau menuntut mayat bagi yang sudah meninggal dunia.

“Kali terakhir saya bercakap dengan adik saya adalah beberapa minit sebelum letupan itu berlaku. Pada waktu itu dia memberitahu saya, dia sedang dalam perjalanan untuk berjumpa saya dan sedang melepasi K5 (salah satu persimpangan yang mengalami letupan),” kata Halima Nur seorang wanita tempatan.

Tambah Halima lagi, dia juga takut jikalau adiknya itu adalah salah seorang daripada mayat yang tidak dapat dikenal pasti yang telah pun dikebumikan.

“Saya tiada harapan untuk mendapatkannya kembali, hidup atau mati,” katanya.

 

INSIDEN PENGEBOMAN TERBURUK SEJAK 2007

Somalia telah menghadapi pelbagai insiden pengeboman sejak kebangkitan kumpulan militan pada tahun 2007, dan kejadian terbaru ini merupakan yang terburuk setakat ini.

Memetik laporan Reuters, militan al Shabaab adalah sekutu al-Qaeda, dan mereka telah melancarkan pelbagai serangan di Mogadishu serta bahagian-bahagian lain di seluruh negara.

Difahamkan, al Shabaab melancarkan pemberontakan untuk menggulingkan kerajaan Somalia yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta sekutunya, Kesatuan Afrika (AU), dengan alasan kerajaan negara itu menyokong pihak Barat.

Selain itu, mereka juga berhasrat untuk melaksanakan peraturan radikal dan songsang yang kononnya berlandaskan Islam dalam usaha untuk ‘mengembangkan pengaruh’ agama tersebut di sana.

Pada tahun 2011, kumpulan militan tersebut diusir keluar dari Mogadishu dan sejak itu, mereka telah banyak kehilangan kuasa dan kawalan susulan pelbagai operasi yang dilaksanakan oleh gabungan Pasukan Penjaga Keamaan AU bersama pasukan keselamatan Somalia.

Walau bagaimanapun, Al Shabaab masih berupaya untuk melancarkan serangan bom secara besar-besaran dan kompleks.

Sejak tiga tahun lalu, jumlah orang awam yang terbunuh akibat serangan bom semakin meningkat kerana militan itu mencipta bom dengan saiz yang lebih besar.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker