AntarabangsaIsu Semasa

Dua Ketua Militan Maut Di Tangan Tentera Filipina

Pada hari Isnin (16 Oktober 2017), pasukan keselamatan Filipina dilaporkan telah membunuh dua orang pemimpin tertinggi kumpulan militan yang mengetuai pengepungan selama berbulan-bulan di bandar Marawi.

Setiausaha Pertahanan, Elfin Lorenzana berkata, dua orang ketua militan itu, Isnilon Hapilon dan Omar Maute terbunuh dalam sebuah operasi ketenteraan untuk mengusir militan daripada kubu kuat terakhir mereka di bandar tersebut.

“Mereka disahkan mati,” kata Lorenzana.

Memetik laporan Straits Times, Hapilon telah dilantik oleh kumpulan militan IS sebagai orang kuat utamanya di Asia Tenggara.

Omar serta adik-beradiknya telah menubuhkan sebuah kumpulan yang membekalkan sebahagian besar pejuang-pejuang yang menakluk Marawi pada 23 Mei.

Tentera melaporkan terdahulu bahawa tiga orang adik beradik Omar iaitu, Abdullah, Maddie dan Otto, telah meninggal dunia.

Difahamkan, tentera mendapat maklumat berkenaan daripada sumber dalaman dan empat orang militan yang berjaya ditangkap, namun ia masih tidak jelas bila mereka meninggal dunia.

Lorenzana berkata, pasukan keselamatan Filipina kini sedang memburu Dr. Mahmud Ahmad, bekas pensyarah universiti yang membantu mengetuai dan membiayai serangan di Marawi.

“Dia (Mahmud) berada di salah sebuah bangunan di situ (Marawi),” katanya.

Dengan kematian Hapilon dan adik beradik Mauti yang terlibat dalam pengepungan bandar itu, Lorenzana menyatakan bahawa pihaknya akan mengumumkan gencatan senjata dalam minggu ini.

Walau bagaimanapun, undang-undang tentera masih akan dikekalkan di seluruh kepulauan selatan Mindanao.

“Kita masih perlu lihat,” kata Lorenzana sambil menambah bahawa pengganas masih mempunyai sel-sel di seluruh Mindanao, dan pihak tentera “akan menangkap mereka.”

Menurut Lorenzana, sampel DNA akan diambil daripada badan Hapilon dan Omar memandangkan kerajaan Filipina telah meletakkan ganjaran untuk penangkapan atau pembunuhan mereka.

Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) meletakkan ganjaran sebanyak AS$ 5 juta (RM 21 juta) ke atas Hapilon dan kerajaan Fillipina pula meletakkan 10 juta peso (RM 823,684) ke atasnya.

Sementara itu, ganjaran untuk penangkapan atau pembunuhan Omar pula diletakkan pada 5 juta peso (RM 411,842).

Pasukan keselamatan telah bertempur dengan beratus-ratus anggota militan selepas sebuah operasi ketenteraan untuk menangkap Hapilon gagal.

Konflik di Marawi telah mengorbankan nyawa lebih daripada 1,000 orang militan, tentera kerajaan dan orang awam.

Selain itu, sebahagian besar daripada bandar itu juga telah musnah dan menyebabkan ribuan penduduk terpaksa melarikan diri dari tempat tinggal mereka.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker