AntarabangsaIsu Semasa

Penemuan Kalimah Allah Pada Pakaian Viking Cetus Persoalan

Para pengkaji di Sweden menemukan corak tulisan Arab yang ditenun pada pakaian-pakaian pengebumian pahlawan Viking, sekali gus mencetuskan persoalan berhubung pengaruh agama Islam di Scandinavia.

Kajian yang dilakukan terhadap pakaian-pakaian yang ditemukan daripada kubur berusia dari abad kesembilan dan ke-10 itu secara tidak langsung memberi gambaran mengenai hubungan pahlawan Viking dengan dunia Islam.

Lapor BBC, tulisan Arab yang ditenun dengan benang emas dan perak pada pakaian tersebut dieja sebagai Allah dan Ali (khalifah Islam keempat).

kalimah allah yang ditenun secara terbalik

Penemuan itu didedahkan selepas ahli arkeologi tekstil, Annika Larsson dari Universiti Uppsala meneliti semula kesemua sisa pakaian pengebumian yang ditemukan pada bot lelaki serta wanita Viking dan sebuah makam yang digali di Birka dan Gamla Uppsa pada akhir abad ke-19 dan 20.

Larsson mula meminati untuk mengkaji pakaian tersebut selepas beliau menyedari bahan yang digunakan untuk membuat pakaian tersebut berasal dari tengah Asia, Parsi dan China.

Larsson menyatakan bahawa beliau tidak pernah melihat corak geometri kecil yang ditemukan pada pakaian tersebut dalam mana-mana penemuan di Scandinavia sebelum menyedari corak itu adalah tulisan purba.

“Corak tulisan pertama yang saya kenal pasti dengan bantuan rakan dari Iran adalah Ali dan satu lagi pada mulanya agak sukar untuk dilihat namun setelah diteliti dari pelbagai sudut, tulisan yang tertera adalah Allah,” katanya.

Larsson setakat ini sudah menemukan sekurang-kurangnya 10 corak tulisan Arab pada 100 pakaian pengebumian dan setiap satunya saling berpasangan iaitu Allah dan Ali.

Penemuan baharu itu juga mencetuskan persoalan mengenai agama dan Larsson memaklumkan kemungkinan jasad-jasad di dalam semua kubur yang ditemukan adalah beragama Islam tidak boleh disangkal.

cincin viking yang juga mempunyai kalimah allah ditemui 2 tahun lalu

Hal demikian kerana keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) menunjukkan beberapa pahlawan Viking yang dikebumikan kebanyakannya berasal dari Parsi.

“Bagaimanapun, penemuan ini cenderung menunjukkan adat pengebumian Viking dipengaruhi idea Islam seperti hidup kekal abadi di dalam syurga selepas mati,” jelasnya.

Pasukannya kini menjalin kerjasama dengan Jabatan Imunologi, Genetik dan Patologi Universiti Uppsala untuk merungkai asal usul jasad-jasad yang dipakaikan dengan pakaian pengebumian Viking.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker