Sukan

T&T Balas Dendam Terhadap AS Yang Kurang Hajar

Hanya dengan satu kemenangan dan lapan kekalahan, Trinidad & Tobago (T&T) berdepan Amerika Syarikat (AS) dan mahu membalas dendam.

Mereka bukan mahu memberi balasan kerana polisi imigresen Donald Trump yang berkontroversi – seperti yang disangkakan oleh pengurus pasukan AS, Bruce Arena – ataupun mahu membalas balik kerana lima kekalahan tanpa satu pun kemenangan menentang pasukan AS yang jauh lebih hebat itu. Sebaliknya, seluruh pasukan T&T berang dengan bagaimana pasukan pelawat itu memberi reaksi kurang hajar terhadap padang yang banjir di Stadium Ato Boldon, dan menggunakan kekecewaan itu untuk mendapatkan kemenangan 2-1 yang bersejarah.

“Kami begitu bersemangat,” ujar penolong jurulatih T&T Stern John kepada USA TODAY. “Saya fikir mereka sangat kurang hajar.”

Kekalahan mengejut 3-2 Mexico kepada Honduras dan kemenangan Panama ke atas Costa Rica bermakna AS buat pertama kali tersingkir daripada kempen Piala Dunia mereka sejak 1986. Christian Pulisic, buah hati dan harapan terbesar bola sepak Amerika, dilihat menangis kekecewaan.

John, bekas penyerang  Colombus Crew dan banyak lagi kelab Inggeris seperti Nottingham Forest dan Birmingham City, menyalahkan sikap pemain-pemain AS. Mereka menghina kemudahan di Couva, dan perlakuan buruk itu hanya memacu pemain-pemain T&T untuk bermain bersungguh-sungguh pada hari terakhir kelayakan CONCACAF itu.

“Saya rasa mereka terlalu yakin dan tidak menghormati (kami) kerana ketika mereka tiba semalam (Selasa), hujan turun membasahi padang dan kemudiannya mereka mendukung rakan-rakan mereka dan banyak lagi,” sambung John.

“Hujan turun bukanlah salah kami. Mereka membesar-besarkan perkara itu dan ianya menjadi berita antarabangsa di seluruh dunia. Ia keluar di media. Keluarga kami (beritahu kami mengenainya). Orang-orang kami juga melihatnya di media sosial. Mereka melihat pemain-pemain AS didukung masuk ke padang – ia memalukan.”

Leston Paul, pemain tengah pasukan T&T mengaku berniat untuk membalas dendam di perlawanan itu, dan berkata AS “telah belajar daipada kesilapan mereka” setelah bermain sambil lewa.

Tags
Show More

Related Articles