Isu SemasaTempatan

Harga Tinggi Punca Rakyat Malaysia Tidak Mampu Memiliki Rumah

Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan bahawa harga rumah yang terlalu tinggi adalah punca utama mengapa rakyat Malaysia tidak mampu untuk memiliki rumah.

Memetik laporan Bloomberg pada hari Rabu, 11 Oktober 2017, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mempunyai keupayaan dari segi kewangan untuk membeli rumah sendiri memandangkan ia dijual dengan harga yang terlalu mahal.

Bank pusat itu juga telah menolak cadangan untuk melonggarkan pinjaman gadai janji, dan meminta industri hartanah untuk meningkatkan usaha dalam mengurangkan kos dan mempercepatkan bekalan.

Laporan itu berkata, harga rumah yang meningkat telah menambah beban kepada rakyat Malaysia yang sedang bergelut dengan kos sara hidup sejak cukai barang dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan dua tahun lalu, dan kerajaan juga telah menarik subsidi barang keperluan harian termasuk petrol dan gula.

“Ini adalah satu situasi yang rumit. Saya tidak rasa ia tidak betul untuk berkata bahawa tiada masalah dengan pembiayaan. Tetapi peraturan pinjaman perlu ketat dan seimbang pada masa yang sama, jika tidak kita akan mempunyai lebih banyak pinjaman yang tidak berbayar dan ia tidak bagus untuk sesiapa pun di dalam negara,” kata Wan Saiful Wan Jan, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) di Kuala Lumpur.

Berdasarkan laporan yang dikendalikan oleh Institut Penyelidikan Khazanah, harga median bagi rumah di Malaysia adalah 4.4 kali lebih tinggi daripada median pendapatan tahunan seisi rumah, sekali gus menjadikan pasaran perumahan “amat tidak mampu untuk dimiliki” berbanding standard antarabangsa.

Namun, ia masih menjadikan rumah di Malaysia lebih murah berbanding pelbagai pasaran lain, di mana rumah mampu milik di bandar-bandar besar merupakan satu perkara yang ‘rare’ dalam abad ke-21.

BNM kini sedang berusaha untuk mencari keseimbangan, di mana laman web perumahannya bermatlamat untuk menunjukkan ketelusan dalam pasaran manakala pemberi pinjaman juga perlu mematuhi peraturan pembiayaan yang lebih ketat yang diperkenalkan sejak tahun 2010 untuk mengekang spekulasi, serta langkah-langkah untuk menggalakkan pinjaman yang bertanggungjawab susulan peningkatan hutang pengguna.

Hutang isi rumah yang merupakan sebahagian daripada keluaran kasar dalam negara (KDNK) jatuh daripada 89.1% kepada 88.4%.

Tetapi, ia masih menjadi salah satu jumlah yang tertinggi di dalam rantau ini dan negara perlu berhati-hati dengan angka tersebut, menurut Gabenor Bank pusat, Dato’ Muhammad Ibrahim pada bulan Julai.

Sejak bulan Julai tahun lepas, BNM tidak mengubah kos pinjaman yang masih kekal pada kadar 3%.

Berdasarkan laman web “Housing Watch” milik BNM, hanya 20% daripada perumahan baru di Malaysia yang dilancarkan pada suku pertama bernilai di bawah RM 250,000, yang menyaksikan penurunan sebanyak 33% di antara tahun 2010 dan 2014.

Dalam pada itu, sebahagian besar rumah-rumah baru bernilai di antara RM 250,000 dan RM 500,000. Median pendapatan isi rumah tahunan pula dianggarkan berada pada sekitar RM 63,000.

“Ini merupakan isu tidak mempunyai pendapatan yang cukup dan harga rumah menjadi terlalu mahal,” kata Muhammad di sebuah persidangan pada bulan Ogos.

Beliau turut menyatakan bahawa masalah sebenar bukan tentang akses kepada pinjaman dan pemberi pinjaman “perlu mempunyai keberanian untuk menyatakannya dengan jelas kepada awam.

Di Kuala Lumpur, hanya setengah penduduk yang memiliki rumah sendiri, manakala di seluruh negara pula hanya menyaksikan 72.5% pada banci terakhir pada tahun 2010.

Menurut Bank Dunia, permintaan dijangka akan meningkat: median umur 31.7 juta populasi Malaysia adalah 28 tahun dan penduduk bandar semakin berkembang pada purata 4% setahun.

 

 

Tags
Show More

Related Articles