#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Penyalahgunaan Laluan Kecemasan Jalan Raya Di China


 

Menyalahgunakan laluan kecemasan merupakan sebuah kesalahan yang amat serius kerana ia boleh menjejaskan operasi menyelamat apabila berlakunya kemalangan.

Jika kita lihat di Malaysia, kelakuan tidak bertanggungjawab ini sering kali dilakukan oleh pemandu-pemandu yang ‘selfish’ (mementingkan diri sendiri) semata-mata untuk memotong laluan supaya lebih cepat sampai ke destinasi mereka.

Tahun lepas, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengesan sebanyak 2,683 buah kenderaan menggunakan laluan kecemasan di lebuh raya seluruh negara sepanjang tempoh 22 Mei hingga 22 Julai.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,212 notis saman dikeluarkan, di mana Selangor, Perak, dan Johor merupakan negeri yang mencatatkan saman tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Nadzri Siron, pihaknya turut menerima 796 aduan berkaitan kesalahan yang sama di seluruh negara dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata, untuk kesalahan ini, pesalah boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM 2,000 seperti yang tertakluk di bawah Akta JPJ 1987.

Malah, pegawai tinggi jabatan itu juga tidak terlepas daripada undang-undang kerana melakukan kesalahan ini.

Difahamkan, bekas timbalan ketua pengarah JPJ, Datuk Yusoff Ayob telah didenda RM 600 selepas mengaku bersalah memandu di lorong kecemasan ketika kesesakan lalu lintas di Lingkaran Putrajaya pada 7 Oktober lepas.

Yusoff masih memegang jawatan tersebut ketika melakukan kesalahan itu, namun memetik laporan The Star, beliau telah dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam.

 

PENYALAHGUNAAN LALUAN KECEMASAN DI CHINA

Pada 1 Oktober, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun mengalami keretakan tulang di kakinya dalam sebuah kemalangan di wilayah Hubei di China, namun ambulans tidak dapat pergi ke lokasi kejadian untuk menyelamatkannya.

Sebuah akhbar di China, Chutian Metropolis Daily melaporkan ambulans dihalang kira-kira 5 kilometer oleh kenderaan-kenderaan yang berada di laluan kecemasan ketika keadaan trafik sedang sesak.

Ia mengambil pasukan keselamatan 20 minit untuk sampai ke lokasi kemalangan, itupun dengan bantuan seorang polis trafik bernama Xu Yong.

Xu kemudian meluahkan perasaan marahnya di aplikasi WeChat, dengan menyatakan bahawa beliau tidak dapat bertoleransi dengan kelakuan pemandu-pemandu yang tidak bertanggungjawab itu sambil berikrar untuk tidak akan melepaskan mereka sekiranya perkara yang sama berlaku lagi pada masa akan datang.

Kenyataan beliau itu mendapat sokongan ramai netizen, dan terdapat juga segelintir pihak yang meminta kerajaan untuk mengetatkan lagi hukuman, seperti meningkatkan bayaran denda kepada 3,000 yuan (RM 1,922), menolak 12 mata demerit, atau terus membatalkan lesen memandu mereka.

 

BAGAIMANA CHINA MENANGANI MASALAH INI?

China mempunyai strategi mereka tersendiri untuk ‘memberi pengajaran’ kepada pesalah.

Kira-kira tiga bulan lalu, polis trafik di beberapa wilayah di negara itu mula menggunakan teknologi baru untuk mendidik pejalan kaki yang tidak mengikut peraturan melintas jalan dengan mendedahkan gambar dan maklumat peribadi mereka dalam usaha memberi kesedaran kepada orang awam mengenai keselamatan jalan raya.

Dengan bantuan alat peranti pengesanan wajah yang dipasang di persimpangan, sebahagian daripada gambar dan maklumat peribadi pejalan kaki yang melanggar peraturan jalan raya akan dipaparkan pada skrin yang ada di setiap persimpangan.

Kini, polis trafik sedang menyasarkan kenderaan-kenderaan yang menggunakan laluan kecemasan.

Selain daripada mengenakan denda sebanyak 200 yuan (RM 128) dan memotong 6 mata demerit, polis juga mendedahkan nombor pendaftaran kenderaan yang menyalahgunakan laluan kecemasan.

Baru-baru ini, polis di wilayah Henan menyiarkan gambar 100 kenderaan (92 kereta dan 8  lori) yang diambil menggunakan kamera pengawasan trafik.

Daripada semua pemandu itu, 30% berhenti di laluan kecemasan untuk menggunakan telefon bimbit, atau berehat, dan tindakan sewajarnya telah diambil terhadap mereka.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.