AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Mengapa Kongo Tangguhkan Pilihan Raya Selama 3 Tahun?

Pilihan Raya di Republik Demokratik Kongo (DRC) untuk mengganti tempat Presiden Joseph Kabila yang telah lama tertangguh tidak akan berlangsung sekurang-kurangnya sehingga bulan April 2019.

Pada asalnya, pilihan raya tersebut sepatutnya diadakan pada bulan November 2016, namun ia ditangguhkan begitu lama sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan pihak pembangkang yang mendakwa Kabila enggan melepaskan kuasanya.

Tahun lepas, puluhan orang telah terkorban berikutan sebuah protes yang membantah keengganan Kabila untuk melepaskan kuasa setelah penggal pemerintahannya tamat.

Beberapa bahagian di negara itu juga berada di bawah kawalan pemberontak yang menegaskan bahawa mereka tidak akan berhenti berjuang selagi presiden itu masih kekal berkuasa.

Memetik laporan Reuters, pembangkang menuduh Kabila mencuba untuk mengekalkan kedudukannya dengan menangguhkan pilihan raya sehingga beliau berjaya mencari jalan untuk memansuhkan had tempoh pemerintahan di dalam perlembagaan supaya boleh terus kekal berkuasa dan tidak perlu bertanding dalam pilihan raya.

Langkah ini telah pun dilaksanakan oleh negara-negara jiran iaitu Rwanda dan Republik Kongo.

Kabila mula memegang jawatan presiden ketika baru sahaja berusia 29 tahun, sepuluh hari selepas bapaya dibunuh pada tahun 2001.

Menurutnya, penangguhan pilihan raya yang sedang berlaku ini bukan kerana beliau ingin kekal berkuasa, tetapi ia disebabkan kesulitan untuk mendaftar berjuta-juta pengundi selain daripada memerlukan ratusan juta dolar untuk menganjurkan pilihan raya tersebut.

Dalam satu kenyataan, suruhanjaya pilihan raya Congo berkata, mereka memerlukan sekurang-kurangnya 504 hari untuk menganjurkan pilihan raya itu selepas pendaftaran pengundi telah selesai.

Pendaftaran telah bermula di segelintir bahagian di wilayah Kasai pada pertengahan bulan September, dan menurut suruhanjaya itu, ia akan mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk menyelesaikannya.

Ini bermakna, pilihan raya itu hanya boleh dianjurkan paling awal pada bulan April 2019, dan suruhanjaya itu juga dijangka akan mengeluarkan kalendar untuk pilihan raya presiden dan lain-lain pada bulan ini.

Setakat ini, DRC tidak pernah lagi menyaksikan pengalihan kuasa secara aman dan keengganan Kabila untuk meletak jawatan pada tahun lepas telah menjadikan negara itu semakin tidak selamat susulan pelbagai protes dan pemberontakan yang berlaku.

Ogos tahun lepas, pemberontakan yang berlaku di Kasai telah mengorbankan kira-kira 5,000 nyawa, manakala 1.4 juta penduduk pula kehilangan tempat tinggal.

Keganasan yang dilakukan oleh kumpulan pemberontak turut meningkat di kawasan sempadan timur negara itu.

Tags
Show More

Related Articles