#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Kempen Rakyat Malaysia Membantah Nuklear Menang Anugerah Nobel Keamanan


 

Kempen Antarabangsa untuk Menghapuskan Senjata Nuklear (ICAN) telah memenangi Anugerah Nobel Keamanan pada 6 Oktober, Jumaat minggu lepas di Oslo, Norway.

Jawatankuasa Nobel telah memberi anugerah tersebut kepada organisasi yang berpangkalan di Geneva itu di atas usaha mereka dalam menekankan betapa bahayanya kesan penggunaan senjata nuklear terhadap kemanusiaan dan kerja-kerja untuk mencapai perjanjian yang melarang penggunaan senjata itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Nobel, Reiss-Andersen, risiko penggunaan senjata nuklear lebih besar berbanding sebelum ini, di mana beberapa negara mula memodenkan nuklear mereka.

Selain itu, ia juga menjadi lebih bahaya apabila lebih banyak negara mungkin cuba untuk memiliki senjata nuklear mereka sendiri, seperti yang dilakukan oleh Korea Utara.

Pengiktirafan yang diberi oleh Jawatankuasa Nobel merupakan satu penghormatan dan ia amat menggembirakan individu-individu yang terlibat dalam usaha untuk menghapuskan penggunaan senjata nuklear, termasuk Datuk Dr Ronald McCoy, yang merupakan bekas presiden bersama Pakar Perubatan Antarabangsa untuk Pencegahan Peperangan Nuklear (IPPNW).

“Kami semua amat gembira dengan pengiktirafan ini selepas bertahun-tahun bekerja, walaupun ICAN baru sahaja wujud selama 10 tahun. Secara jelas, perjalanan masih jauh,” kata Dr McCoy yang lahir di Seremban dalam sebuah temubual bersama Malay Mail Online.

Dr McCoy juga merupakan individu yang mencadangkan idea penubuhan ICAN kepada rakan-rakannya di IPPNW tidak lama selepas semakan terhadap Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) 1968 gagal pada tahun 2005.

“Kita boleh menggelarnya International Campaign to Abolish Nuclear Weapons, dengan akronim ICAN. Mari kita mulakan usaha ini sekarang,” katanya.

ICAN dilancarkan oleh IPPNW di Vienna pada tahun 2007, di mana ia kini menjadi penggerak utama masyarakat sivil untuk penghapusan nuklear yang merangkumi 468 badan bukan kerajaan daripada kira-kira 100 buah negara di seluruh dunia.

Memetik laporan Malaysian Digest, satu dekad selepas pelancaran ICAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat perjanjian baru yang dikenali sebagai Perjanjian Larangan Senjata Nuklear, yang melarang penggunaan, pembangunan, ujian, dan penyimpanan senjata nuklear dalam apa jua keadaan sekali pun.

Perjanjian ini juga telah ditandatangani oleh Malaysia.

Kewujudan perjanjian ini dilihat sebagai satu pencapaian penting dalam usaha selama 7 dekad untuk mencegah perang nuklear sejak Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, apabila Amerika Syarikat (AS) melepaskan dua bom atom di dua bandar Jepun, iaitu Hiroshima dan Nagasaki.

Walau bagaimanapun, 9 buah negara yang memiliki senjata nuklear iaitu China, Perancis, India, Israel, Korea Utara, Pakistan, Rusia, United Kingdom dan AS, telah memboikot sekali gus tidak menyertai rundingan itu.

Dengan sokongan daripada Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa, Dr McCoy menyatakan bahawa ICAN boleh menekankan impak signifikan senjata nuklear terhadap kemanusiaan dan senjata ini boleh menyebabkan kemusnahan global sekiranya negara-negara di dunia mula terlibat dalam perang nuklear.

Memandangkan 9 negara nuklear tersebut memboikot perjanjian itu, beliau berkata bahawa penduduk di setiap negara itu kini perlu memainkan peranan dalam menekankan perkara ini kepada kerajaan bahawa mereka memiliki senjata nuklear “haram”.

“Jadi, kita kini mempunyai tekanan politik dan moral untuk menghapuskan dunia senjata nuklear,” kata Dr McCoy yang kini berusia 87 tahun.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.