Teknologi

Terowong Maya Dubai Imbas Wajah Dan Mata Penumpang

Terdapat ramai penumpang yang melalui lapangan terbang Dubai, dan pada tahun 2020 nanti, mereka dijangkakan bakal menerima kunjungan hampir 124 juta orang.

Oleh itu, dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan pusat pemeriksaan keselamatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai sedang memasang sebuah terowong yang dilengkapi dengan 80 buah kamera pengecaman wajah dan  pengimbasan mata.

Dinding terowong itu berupaya memaparkan pelbagai visual seperti akuarium dan padang pasir serta iklan. Penumpang hanya perlu berjalan seperti biasa sahaja.

Di hujung terowong itu, satu paparan akan ditunjukan, sama ada mesej selamat jalan atau memberi amaran kepada pegawai keselamatan untuk membuat semakan sekali lagi kepada orang tersebut.

Ujar timbalan ketua pengarah kediaman dan urusan luar Dubai, Obaid Al Hameeri kepada The National, “Kami telah bekerja selama empat tahun untuk mengubah prosedur daripada kaunter tradisional, dan pada masa akan datang kami tidak akan memerlukan kaunter sama sekali.”

Imej-imej yang dipaparkan di dinding terowong itu bukan hanya sekadar hiasan, tetapi ia ada fungsinya.

Al Hammeri berkata ikan-ikan yang dipaparkan pada skrin itu selain daripada hiburan dan sesuatu yang baru untuk penumpang, ia juga berfungsi menarik penglihatan penumpang kepada satu sudut terowong itu supaya kamera dapat menangkap gambar wajah mereka.

 

 

Dubai bukanlah yang pertama yang beralih kepada sistem biometrik untuk meningkatkan kecekapan lapangan terbang mereka.

Delta telah mencuba teknologi itu sebagai alternatif kepada pas masuk dan kaunter pemeriksaan bagasi tradisional. Amerika Syarikat (AS) telah menguji penggunaan pengecaman wajah sebagai sebahagian daripada langkah-langkah keselamatan yang penumpang antarabangsa ke AS  perlu lalui.

Australia juga berminat untuk menggunakan sistem pengecaman biometrik, setelah mencadangkan rancangan untuk menggunakan pengenalan wajah, mata dan cap jari di lapangan terbang supaya penumpang tidak perlu lagi menunjukkan pasport mereka atau berinteraksi dengan pegawai lapangan terbang.

Terowong maya pertama akan dipasang di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai menjelang pertengahan tahun depan dan selebihnya akan dipasang di seluruh terminal lapangan terbang itu menjelang tahun 2020.

Terowong itu pada mulanya hanya akan mengendalikan imbasan muka, dengan keupayaan mengimbas mata ditambah kemudian.

Tags
Show More

Related Articles