#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Pyongyang Godam Pelan Ketenteraan Seoul


 

Penggodam-penggodam komputer Korea Utara telah berjaya mencuri beratus-ratus dokumen sulit ketenteraan daripada Korea Selatan, termasuk maklumat terperinci mengenai pelan operasi peperangan yang melibatkan sekutu negara itu, iaitu Amerika Syarikat.

Menurut seorang Ahli Parlimen Parti Demokratik (parti pemerintah) Korea Selatan yang juga ahli jawatankuasa pertahanan, penggodam-penggodam tersebut mencerobohi rangkaian ketenteraan negara itu pada bulan September lepas dan mendapat akses kepada data sensitif sebanyak 235 gigabyte (gb).

Memetik laporan agensi berita Seoul, Chosun Ilbo, antara dokumen yang dibocorkan adalah Operational Plans 5015 (Pelan Operasi 5015) yang akan digunakan sekiranya peperangan dengan Korea Utara berlaku, dan juga prosedur-prosedur untuk serangan “pemusnahan” terhadap pemimpin rejim itu, Kim Jong-un.

ANCAMAN DONALD TRUMP

Laporan itu disiarkan ditengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai konflik di semenanjung Korea, tambah-tambah lagi dengan ancaman berterusan yang dilakukan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghentikan program nuklear Jong-un.

Dalam Tweet terbaru beliau pada hujung minggu lalu, Trump mengulangi bahawa usaha diplomatik dengan Korea Utara telah gagal secara konsisten sambil menegaskan akan ada “satu cara sahaja yang akan berkesan,” iaitu dengan melaksanakan operasi ketenteraan.

Jurucakap Pentagon, Kolonel Rob Manning berkata, beliau sedar akan laporan itu, namun enggan mengesahkan atau menafikan sebarang aspek laporan tersebut.

“Saya boleh memberi jaminan kepada anda bahawa kami yakin dengan keselamatan pelan-pelan operasi kami dan kebolehan kami untuk menangani sebarang ancaman daripada Korea Utara.

“Saya tidak akan mengutarakan sama ada ia (penggodaman) itu telah berlaku atau tidak. Apa yang saya ingin memberitahu anda adalah gabungan AS (bersama Korea Selatan), entiti dua hala, ada di situ untuk menangani situasi seperti ini dan akan melindunginya,” kata Manning.

80% DOKUMEN BOCOR MASIH BELUM DIKENAL PASTI

Jelas Rhee, Kementerian Pertahanan Seoul menyatakan bahawa 80% daripada dokumen yang dibocorkan itu masih belum dikenal pasti.

Beliau berkata, pelan kontigensi untuk pasukan khas Korea Selatan,  maklumat mengenai latihan ketenteraan gabungan tahunan dengan AS, dan maklumat tentang fasiliti ketenteraan penting dan loji kuasa telah dicuri oleh penggodam.

Namun, jurucakap kementerian pertahanan enggan mengesahkan laporan itu kerana ia melibatkan hal-hal perisikan.

Pada bulan Mei, kementerian itu menyatakan bahawa Pyongyang telah menggodam intranet ketenteraan Seoul, tetapi tidak mendedahkan apa yang telah dibocorkan.

KOREA UTARA MEMPUNYAI RAMAI PAKAR PERANG SIBER

Menurut kerajaan Korea Selatan, Pyongyang mempunyai 6,800 unit pakar perang siber terlatih yang kuat.

Kumpulan penggodam itu juga telah dituduh melancarkan pelbagai serangan siber berprofil tinggi, termasuk kes penggodaman Sony Pictures pada tahun 2014.

Sementara itu, kerajaan Australia dalam perkembangan lain, menyatakan bahawa kontraktor pertahanan telah digodam sekali gus menyaksikan pencurian pelbagai data penting.

Kontraktor pertahanan organisasi atau individu yang menyediakan perkhidmatan atau produk berkaitan keselamatan kepada tentera atau jabatan perisikan sesebuah kerajaan.

Penggodam dilaporkan berpangkalan di China, namun Tehan menjelaskan pihaknya tidak mengetahui dan tidak dapat mengesahkan dengan tepat siapa dalang serangan itu.

Menteri Keselamatan Siber Australia, Dan Tehan berkata, terdapat 47,000 insiden berkaitan siber sejak 12 bulan lalu, iaitu peningkatan sebanyak 15% berbanding tahun lalu.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.