#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


AS ‘Berpura-Pura’ Menentang Militan?


 

Pada hari Selasa, Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa bahawa Amerika Syarikat (AS) hanya “berpura-pura” untuk menentang militan IS di Iraq.

Kementerian itu berkata, AS dengan sengaja telah mengurangkan serangan terhadap IS di Iraq untuk ‘mengalihkan’ militan tersebut ke barisan hadapan dalam pertempuran tentera Syria (disokong oleh Rusia) untuk menawan semula bandar Deir Ezzor daripada cengkaman IS.

Walau bagaimanapun, Pentagon menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai kempen propaganda Rusia yang “tidak masuk akal”.

Memetik laporan Independent UK, gabungan tentera antarabangsa yang diketuai AS, mengurangkan serangan udara terhadap IS dengan drastik sekali pada bulan September, pada tempoh sama Rusia ingin membantu pasukan kerajaan Syria untuk membebaskan bandar tersebut.

Oleh itu, insiden ini telah membolehkan militan untuk melintasi sempadan dan membawa anggota-anggota mereka ke barisan hadapan untuk menentang tentera Syria.

Menurut Rusia, anggota IS di al-Mayadin, di tenggara bandar Deir Ezzor, dibanjiri ‘tentera-tentera upahan asing” yang datang dari Iraq.

“Semua orang melihat bahawa gabungan yang diketuai oleh AS berpura-pura untuk menentang IS, terutamanya di Iraq, tetapi (mereka) kononnya terus menentang IS di Syria secara aktif untuk sebab-sebab tertentu,” kata Major-Jeneral Igor Konashenkov, jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia.

Beliau berkata, tindakan Pentagon dan gabungan tentera AS memerlukan penjelasan.

“Adakah perubahan ‘hala tuju’ mereka merupakan satu keinginan untuk menyukarkan lagi operasi tentera Syria?

“Atau adakah ia satu langkah ‘licik’ untuk mengusir pengganas IS keluar dari Iraq dengan memaksa mereka masuk ke Syria ke kawasan pengeboman tepat tentera udara Rusia?,” soal Konashenkov.

Membalas dakwaan itu, jurucakap Pentagon, Eric Pahon menyatakan bahawa pada minggu lepas sahaja, AS telah melancarkan banyak serangan udara terhadap pengganas IS, membantu tentera Iraq dalam membebaskan daerah Hawija (kubu kuat IS) daripada cengkaman mereka, dan juga bersiap sedia untuk melaksanakan fasa terakhir dalam usaha membebaskan bandar Raqqa di Syria.

“Kempen propaganda Rusia tidak patut dibenarkan untuk mencemarkan komitmen pasukan kita untuk melihat pengganas tewas,” tegas Pahon.

 

 

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.