#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Bahaya Ketagihan Pembedahan Plastik


 

Ketagih terhadap pembedahan, Pixee Fox dan Justin Jedlica telah berikrar untuk hidup sebagai ‘Ken and Barbie’ sebenar – setelah obsesi mereka dengan pembedahan plastik menghancurkan kehidupan cinta mereka.

Pixee seorang model, 26 tahun, telah menjalani 17 pembedahan, termasuk membuang enam tulang rusuk, empat pembedahan payudara dan prosedur sedut lemak –  semuanya dibayar oleh duit simpanannya dan peminat-peminat lelakinya. Justin, 35, telah  menjalani lebih 340 prosedur kosmetik, termasuk lima pembedahan rhinoplasti (hidung), bahu, belakang, pipi, bicep dan implan punggung.

Justin dan Pixee, Pasangan yang obses dengan rupa ini telah menghabiskan sejumlah £ 380,000 (RM 2.1 juta) untuk prosedur-prosedur ini.

Pixee akan menjalani pembedahan implan pinggul dan implan punggung pada akhir tahun ini serta merancang untuk menjalani pembedahan pada waktu yang sama dengan Justin supaya mereka boleh sembuh bersama-sama lapor Daily Mail

Definisi pembedahan kosmetik plastik

Pembedahan kosmetik plastik termasuklah prosedur melibatkan pembedahan dan tidak melibatkan pembedahan. Ia dilakukan untuk menambah baik dan membentuk semula struktur tubuh untuk menambah baik penampilan dan keyakinan. Individu sihat yang mempunyai sikap yang positif dan harapan yang realistik adalah calon yang sesuai untuk prembedahan kosmetik. Pembedahan plastik adalah pilihan peribadi seseorang dan ia tidak sepatutnya dilakukan untuk memuaskan hati orang lain. Kerana ia sejenis pembedahan elektif, pembedahan kosmetik biasanya tidak ditanggung oleh insurans kesihatan terang laman web American Society of Plastic Surgeons.

Ketagihan pembedahan plastik dan sebab-sebabnya

Merupakan perkara biasa ada sesetengah daripada kita mempunyai beberapa bahagian tubuh  badan yang kita tidak berapa gemari seperti  telinga yang terlalu menonjol atau saiz payudara yang tidak seimbang seperti dilaporkan laman web Harley Street Aesthetics. Namun jika anda dapati anda sering mencari kecacatan pada tubuh serta cenderung ingin melakukan pembedahan plastik, anda mungkin mengalami Gangguan Dismorfik Tubuh  (Body Dismorphic Disorder, BDD) dan ketagihan terhadap pembedahan plastik.

Gangguan Badan Dismorfik

Pesakit yang mempunyai gejala BDD serta secara obsesif menjalani pembedahan estetik  sedang menderita masalah mental dan emosi, yang mereka percaya hanya dapat diubati menerusi pembedahan plastik. Namun begitu, hal ini sangatlah bertentangan dengan realiti sebenarnya, di mana pembedahan plastik tidak sepatutnya menjadi jalan penyelesaian kepada masalah psikologi! Pesakit yang menghidap BDD merasakan diri mereka hodoh, walaupun pada hakikatnya pada orang lain mereka kelihatan cantik atau menarik. Hal ini menyebabkan mereka terus mencari kecacatan yang ada pada badan mereka supaya mereka dapat mencari alasan kukuh untuk melakukan lebih banyak pembedahan kosmetik; jadi akhirnya, hasil yang mereka inginkan kelihatan mustahil untuk dicapai.

Mereka yang menghidap BDD sering merasakan mereka kelihatan hodoh, walaupun realitinya mereka kelihatan elok sahaja

Faktor sosial

Faktor sosial juga mempunyai peranan yang penting di dalam ketagihan pembedahan plastik. Malangnya kini, kanak-kanak dan orang dewasa semakin terdedah kepada perspektif yang melampau tentang kecantikan, sama ada menerusi filem, majalah, video muzik, iklan yang terlalu seksual mahupun berita. Saluran-saluran media ini, sama ada secara sengaja atau tidak, telah menggambarkan pembedahan plastik sebagai sebuah keperluan. Jadi tidak hairanlah jika golongan muda (terutamanya kanak-kanak perempuan) membesar dengan pemikiran mereka hodoh, jika golongan selebriti seperti keluarga Kardashian sentiasa di dalam berita membincangkan tentang pembedahan hidung, penegangan kulit wajah, pengecilan atau pembesaran payudara mereka.

Bahaya ketagihan pembedahan kosmetik

Jika anda ketagihan terhadap sesuatu, sama ada dadah atau pembedahan kosmetik, ia boleh memudaratkan kesihatan anda. Bahaya ketagihan terhadap pembedahan plastik adalah sangat serius: anda mungkin akan tertekan, seterusnya menyebabkan kesukaran untuk bersosial  dan melakukan  pekerjaan. Sekiranya ini berlaku, anda mungkin akan melepaskan kemarahan terhadap rakan-rakan dan ahli keluarga yang cuba membantu anda.

Walaupun begitu, bahaya terbesar adalah kesan pelbagai prosedur kosmetik terhadap tubuh anda. Mereka yang pernah menjalani terlalu banyak pembedahan kosmetik mungkin akan mengalami kerosakan kekal pada kulit dan otot mereka, termasuk kegagalan otot untuk berfungsi serta tisu parut yang berlebihan.

Rawatan untuk ketagihan pembedahan plastik

Tidak ada penawar khusus untuk merawat ketagihan pembedahan plastik, malah, individu yang mempunyai BDD perlu berjumpa doktor untuk menerima rawatan kesihatan mental khusus seperti ubat-ubatan anti-kemurungan atau rawatan perlakuan seperti Terapi Perilaku Kognitif.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.