Antarabangsa

Jurugambar Perang Diminta Sertai Seksaan

Gambarnya kelihatan sama seperti gambar-gambar daripada penjara Abu Ghraib. Orang awam Iraq di Mosul menghadapi ancaman rogol, penyeksaan dan pembunuhan daripada anggota tentera mereka sendiri yang telah merampas semula kota itu daripada IS.

 “Gambar-gambar itu adalah yang paling menakutkan dan mengejutkan yang saya pernah lihat dalam hidup saya,” kata bekas wartawan perang BBC, Jeremy Bowen, mengenai gambar-gambar yang diambil oleh jurugambar Kurdish, Ali Arkady.

Minggu lepas, siri gambar-gambar kejam yang dinamakan “Kissing Death”, yang diambil oleh Arkady tahun lepas apabila beliau bersama anggota unit pasukan khas Iraq, memenangi hadiah utama di Bayeux-Calvados Awards pada Sabtu lepas, lapor South China Morning Post.

Gambar  itu bukan hanya “menggerunkan” kata Bowen, yang mempengerusikan juri di Bayeux-Calvados, “ia adalah jahat”.

Tetapi bukan kandungan gambar itu sahaja yang tidak menyenangkan para juri. Arkady, 34, mengaku dia dipaksa bersetuju untuk memukul dua suspek ketika sesi penyeksaan itu sedang dijalankan, bagi menyelamatkan dirinya sendiri. Dia mengatakan bahawa dia “tidak berbangga” dengan perbuatan itu.

Tetapi jurugambar yang lain berfikiran adakah Arkady telah melampaui batas.

Bowen menegaskan bahawa “Khidmat yang dilakukannya dengan mengambil gambar-gambar itu adalah lebih kuat daripada fakta yang dia telah membuat beberapa kesalahan”, tetapi ramai yang tidak bersetuju.

Seorang lagi ahli juri, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata bahawa dia terganggu oleh isu-isu etika yang dibangkitkan oleh gambar yang “mengejutkan” itu.

“Cerita ini tidak jelas. Ramai orang fikir dia sangat berani dalam menceritakan kisah ini…tetapi saya fikir kita tidak menghantar mesej yang betul dengan memberi ganjaran kepada gambar seperti ini,” katanya.

Arkady terpaksa melarikan diri dari Iraq dengan keluarganya pada awal tahun ini. Dia membawa gambar dan filem yang membuktikan jenayah perang yang dilakukan oleh Emergency Response Division (ERD) yang telah diikutinya selama dua bulan.

Arkady berkata beliau meneruskan tugasannya mengikuti unit tersebut selepas sesi penyeksaan itu, kerana sebahagian daripada dirinya berasa bersalah kerana beliau pernah melabelkan unit itu sebagai wira di dalam laporannya  kepada rangkaian televisyen, ABC.

“Saya telah melihat dua pahlawan (komander unit) melakukan sesuatu yang buruk,” kata Arkady. “Mereka mula menyeksa orang awam, merogol wanita. Semuanya berubah dalam fikiran saya. Saya keliru. Saya memutuskan untuk menyiasat dengan lebih lanjut.”

Bowen, yang telah menghabiskan beberapa dekad dengan melaporkan berita dari Timur Tengah, berkata, hakikat bahawa Arkady telah mendedahkan penganiayaan itu mengatasi faktor lain.

“Saya rasa ia sangat penting dia mengakui kesilapan yang dibuatnya. Dalam istilah moral, dia bukan penyeksa,” katanya.

Jurugambar perang ternama, Sean Smith dari The Guardian berkata, dia juga “tidak akan mengutuk” Arkady.

Baginya, “sistem yang meletakkan dirinya di posisi itu – di mana jurugambar bebas ‘stringers’ yang memberikan liputan” daripada kawasan berbahaya akibat peperangan adalah masalahnya.

“Perkara ini telah menjadi semakin meruncing kerana organisasi pemberitaan yang besar-besar semakin kurang menghantar orang yang berpengalaman,” ujarnya.

“Sudah tiada sesiapa pun di sana. Hampir semua liputan datang daripada stringers dan media sosial,” katanya lagi.

Smith berkata walaupun Arkady tidak sepatutnya mengambil bahagian dalam penyeksaan, jurugambar kadang-kadang diletakkan di dalam kedudukan yang terdesak.

“Jika anda mengikuti orang-orang seperti itu, anda tidak boleh berkata “Saya tidak setuju dengan apa yang anda lakukan.’”

Kerana sentiasa ada “bahaya yang sangat nyata dan anda boleh dibunuh dan dibuang di tepi jalan”, katanya.

Tags
Show More

Related Articles