AntarabangsaIsu Semasa

Taliban Mahu Berdamai Dengan Militan IS?

Ketua kumpulan militan Taliban, Hebatullah Akhundzada dilaporkan telah mengeluarkan arahan kepada anggota-anggotanya supaya berhenti ‘bergaduh’ dengan kumpulan IS kerana mereka mempunyai matlamat yang sama.

Afghan 1TV pada hari Jumaat (6 Oktober 2017) melaporkan bahawa perkara itu didedahkan oleh seorang pegawai keselamatan kanan di Afghanistan.

Difahamkan, kedua-dua kumpulan tersebut telah bermusuhan sejak dua tahun lalu (2015).

Taliban dan IS dianggap sebagai kumpulan pengganas di pelbagai negara di serata dunia, dan mereka juga diharamkan di Rusia.

Memetik laporan agensi berita Rusia, RT, arahan tersebut dikeluarkan oleh Akhundzada kira-kira 10 hari lalu ketika melakukan lawatan ke daerah Musa Qala yang merupakan kubu kuat Taliban di wilayah Helmand, Afghanistan.

Dia juga dilaporkan mengikuti lawatan itu bersama Majlis Kepimpinan yang dikenali sebagai Quetta Shura, dan juga ‘gabenor-gabenor’ yang dilantik oleh Taliban dari seluruh negara itu.

Sekiranya perkara ini benar, ia menandakan perubahan drastik dalam hubungan di antara kedua-dua kumpulan pelampau itu yang terkenal dengan melakukan kegiatan keganasan, pembunuhan beramai-ramai, serta serangan terhadap orang awam.

Pada tahun 2015, Taliban dan IS dikatakan telah mengisytiharkan ‘perang suci’ atau ‘jihad’ untuk menentang satu sama lain, di mana ketua IS, Abu Bakr Al-Baghdadi didakwa menggelar bekas ketua Taliban, Mullah Mohammad Omar sebagai seorang individu yang “bodoh dan buta huruf”.

Pada bulan Jun, Andrey Novikov, ketua Pusat Anti-Pengganas (ATC) dari Negara-Negara Komanwel Merdeka berkata, kegiatan Taliban yang semakin meningkat di utara Afghanistan menunjukkan bahawa segelintir komander/pemimpin kumpulan itu mungkin berubah haluan dan kemudian menyertai IS, yang semakin berpengaruh di rantau itu.

Kemungkinan kedua-dua kumpulan itu telah berdamai boleh mendatangkan cabaran kuat buat gabungan anti-penganas antarabangsa sekiranya militan tersebut dapat mengukuhkan kekuatan bersama-sama di Afghanistan.

Malah, pada bulan Ogos, IS dan Taliban telah berganding bahu melakukan serangan terhadap sebuah kampung di negara itu yang mengorbankan nyawa sekurang-kurangnya 50 orang, lapor Independent UK.

Walau bagaimanapun, mereka masih “musuh ketat” pada waktu itu dan seorang jurucakap Taliban turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan mereka telah bergabung.

 

 

Tags
Show More

Related Articles