#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Sindiket Pemerdangangan Manusia Jadikan Indonesia Sebagai ‘Transit’


 

Isu pemerdagangan manusia menjadi semakin membimbangkan hari demi hari, lebih-lebih lagi dengan kemajuan dan perkembangan pesat teknologi.

Baru-baru ini, dua orang rakyat Malaysia telah ditahan di Indonesia kerana terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia yang menghantar pendatang asing ke Eropah.

Menurut Enang Syamsi, ketua pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, kedua-dua suspek yang membawa tiga orang kanak-kanak warga Sri Lanka itu ditahan pada hari Ahad, di mana mereka ingin menuju ke United Kingdom.

“Sindiket menggunakan Indonesia sebagai negara transit. Dari sini, mereka akan menghantar orang negara-negara Eropah secara haram seperti Jerman dan Perancis,” katanya.

Memetik laporan Kompas.com, Syamsi menyatakan bahawa sindiket itu juga menggunakan pasport Malaysia yang dicuri atau telah hilang untuk membawa pendatang asing ke Eropah.

Ujarnya lagi, kedua-dua orang lelaki yang ditahan itu kononnya ‘berlakon’ sebagai pengiring kanak-kanak tersebut.

Selain itu, sindiket itu juga mengenakan AS 2,000 (RM 8,400) bagi setiap pendatang yang berjaya diseludup ke luar negara.

“Mereka memilih untuk menghantar pendatang dari Indonesia kerana, antara lain, terdapat banyak penerbangan kos rendah yang menuju ke Eropah”, kata beliau.

Jelas Syammsi, mangsa-mangsa diperdagangkan untuk ‘memenuhi pesanan’ daripada Eropah yang mahu mengambil pekerja atau kanak-kanak untuk di ambil sebagai anak angkat.

“Jenayah ini berstruktur. Kami masih menyiasat sel-sel mereka di Indonesia,” tambahnya.

Indonesia merupakan negara transit bagi beribu-ribu pelarian dan pencari suaka yang menuju ke Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Australia.

Menurut Pejabat Pesuruh Jaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian di Indonesia, sekurang-kurangnya 14,000 pelarian dan pencari suaka kini berada di Indonesia yang sedang menunggu untuk dihantar kepada negara ketiga.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.