FesyenGaya Hidup

Inspirasi Kebaya, Gadis Litar F1 Tampil Lebih Sopan

Penganjuran terakhir Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bukan saja meninggalkan kesan besar kepada barisan atlet ternama negara malah peminat-peminat tempatan juga turut terkesan.

Pada 1 Oktober lalu, perlumbaan F1 di SIC adalah yang terakhir dan telah mencatat kehadiran penonton terbanyak dalam masa empat tahun.

Selalunya bukan hanya peserta yang menjadi bualan, namun gadis litar yang sering tampil berpakaian seksi antara yang menjadi tarikan ramai.

Namun untuk perlumbaan kali ini, tiada lagi gadis litar berpakaian seksi, sebaliknya pakaian mereka lebih bergaya, sopan , tidak terlalu menonjol dan mengekalkan ciri ketimuran.

Memetik laman Malaysiandigest, kali ini gandingan duo pereka fesyen terkenal negara, Rizman Ruzaini diberi peluang untuk mereka baju gadis litar bagi tahun ke-19 dan yang terakhir diadakan di Malaysia.

Rizman dan Ruzaini menampilkan dua rekaan eksklusif dan diinspirasikan dari Baju Kurung dan Baju Kebaya. Menggunakan fabrik jenis renda untuk bahagian atas atau kebaya dan fabric jenis  “crepe” sebagai kain untuk menampakkan keunikan dan menyerlahkan sisi kewanitaan.

Warnanya pula sudah pasti gandingan warna rasmi Petronas iaitu hijau dan putih.  Seragam rasmi hari terakhir perlumbaan itu juga turut dihiasi dengan skaf di kepala dengan warna yang menyamai baju dan kasut. Malah, kasut yang dipakai oleh gadis-gadis ini turut direka khas oleh mereka.

“Kami membuat kajian agak lama untuk menghasilkan rekaan ini. Kami melihat kembali rekaan-rekaan yang pernah dihasilkan oleh pereka terdahulu kerana kami mahu buat sesuatu yang belum pernah dihasilkan,” ujar Rizman.

Rizman dan Ruzaini menjelaskan mereka amat mementingkan keselesaan buat kesemua 64 orang gadis litar yang menggayakan seragam itu memandangkan mereka akan memakainya sehari suntuk di litar dari jam enam hingga lima petang.

Kesempatan mereka busana untuk gadis litar ‘F1 Finale’ juga dianggap sebagai satu penghormatan buat Rizman dan Ruzaini kerana berpeluang menyumbang idea segar mereka dan dipersembahkan di acara berprestij dunia itu yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang untuk kali yang terakhir.

Tags
Show More

Related Articles