#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Pemerdagangan Manusia di Malaysia


 

Sebuah kajian yang dijalankan pihak gereja menganggarkan bahawa di Sabah sahaja terdapat kira-kira 30-32,000 individu yang diperdagangkan, hal ini merangkumi bilangan kanak-kanak dan orang dewasa.

Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Dadah dan Jenayah (The United Nations Office on Drugs and Crime,UNODC) melaporkan bahawa dari tahun 2003 hingga 2006, kira-kira 160 individu telah disabitkan kesalahan menculik dan  memperdagang kanak-kanak. Sekumpulan besar daripada mereka terlibat dalam memperdagang kanak-kanak untuk tujuan eksploitasi seksual, menurut sebuah laporan ECPAT Malaysia.

Kanak-kanak dan wanita Malaysia diperdagangkan ke Singapura, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Kanada, Amerika Syarikat, Eropah dan Australia untuk tujuan pelacuran. Gadis-gadis etnik pribumi dan datang dari kawasan luar bandar Malaysia juga turut diperdagangkan di dalam negara untuk tujuan yang sama.

Definisi pemerdagangan manusia

Membeli dan menjual manusia lain, terutamanya kanak-kanak, adalah sebuah jenayah yang sangat kejam. Namun kita tahu bahawa ia berlaku di mana-mana sahaja

 

Perkara 3, perenggan (a)  di dalam Protokol untuk Mencegah, Menyekat dan Menghukum Pemerdagangan Orang  mendefinisikan Pemerdagangan Orang sebagai mengambil, mengangkut, memindah, menyimpan atau menerima orang, menerusi ancaman atau kekerasan atau cara paksaan lain, penculikan, penipuan, penyalahgunaan kuasa atau mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain. Atau memberi atau menerima bayaran atau faedah lain untuk mendapatkan kebenaran individu yang mempunyai kawalan ke atas individu lain, untuk tujuan eksploitasi .

Eksploitasi merangkumi namun tidak terhad kepada, eksploitasi pelacuran individu lain atau eksploitasi seksual bentuk lain, buruh paksa, perhambaan atau amalan yang serupa dengan perhambaan, atau pemindahan organ, seperti yang tertera di laman web United Nations Office on Drugs and Crime .

Remaja lari daripada rumah sangat terdedah kepada pemerdagangan manusia

Lapor akhbar The Star, menurut statistik diperolehi pihak Polis di Raja Malaysia, dari Januari hingga Jun tahun ini terdapat 723 kes kanak-kanak yang hilang dalam tempoh 181 hari. Lebih dari  separuh kes ini, sebanyak 427 kes – dilaporkan ingin merasai kebebasan.

Pembantu Komisioner, Ong Chin Lan dari Jabatan Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Polis Diraja Malaysia (D11) berkata kebanyakan remaja perempuan yang lari dari rumah dalam lingkungan umur yang “sangat berbahaya”, iaitu antara 13 hingga 15 tahun.

Kebanyakan orang-orang muda ini tiada tempat tinggal atau telah melarikan diri dari rumah dan berjuang untuk hidup di jalanan. Dilupakan oleh masyarakat, kita sepatutnya bimbang dan tertanya-tanya tentang keselamatan remaja yang telah melarikan diri ini. Masih terlalu muda dan lemah, mereka mudah dijadikan mangsa oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab

Siti Norhidayah Kamsani, 16 dan Jenifer Anthonysamy, 14 adalah antara gadis remaja Malaysia yang telah melarikan diri dari rumah dan kini terdedah kepada bahaya pemerdagangan manusia

Faktor-faktor memudahkan kanak-kanak untuk diperdagang

Permintaan untuk seks menjadi pemangkin pemerdagangan seks kanak-kanak di seluruh dunia.

Kemiskinan, keganasan rumah tangga, diskriminasi dan keinginan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik menjadikan kanak-kanak terdedah kepada perkara ini. Hal ini kerana sering kali mereka tidak berpelajaran, mudah untuk dikuasai dan diyakinkan.

Kanak-kanak juga mungkin merasakan mereka mesti menyara keluarga, malah mungkin boleh dijual atau dihantar ke luar negara oleh ahli keluarga untuk menyara keluarga.

Kanak-kanak jalanan, kem pelarian atau kanak-kanak di mana kehidupan keluarga dan masyarakatnya terganggu serta tidak mempunyai orang untuk menjaga mereka sangat terdedah kepada pemerdagangan manusia, terang laporan ECPAT Malaysia.

Langkah-langkah untuk mengurangkan kes pemerdagangan manusia

Pada tahun 2016, pihak polis telah mengenal pasti 1,812 orang mangsa pemerdagangan manusia serta mendakwa seramai 308 orang yang terlibat dalam perkara ini. Terdapat 42 orang pegawai kerajaan yang ditangkap, ditegur atau dikenakan tindakan disiplin kerana terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia; 41 pegawai imigresen dan seorang pegawai polis.

Kejayaan dalam memerangi pemerdagangan manusia pada tahun ini  termasuk program baru untuk melindungi mangsa. Malaysia telah melabur sebanyak RM4.23 juta untuk membina pusat perlindungan untuk mangsa perdagangan manusia, lapor The Hill.

Untuk membantu menangani isu remaja lari dari rumah, Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mencipta Program Sahabat Bijak: Selamat dan Lindungi, yang bertujuan untuk mempromosikan keselamatan dalam kalangan pelajar.

Program ini bertujuan untuk mendidik pelajar tentang isu-isu seperti dadah, seks, buli dan perhubungan.”Melalui program ini, kita mendidik kanak-kanak tentang pentingnya hubungan penuh kasih sayang dengan ibu bapa dan keluarga mereka, serta supaya tidak mudah terpengaruh dengan rakan sebaya,” kata Datuk Seri Rohani di akhbar The Star.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.