AntarabangsaIsu Semasa

Kanak-Kanak 3 Tahun Jadi “Dewi Hidup” Baharu di Nepal

Tahukah anda, dalam amalan tradisi Hindu di Nepal, mereka menyembah gadis-gadis muda yang dianggap sebagai “dewi hidup”? Kumari yang bermaksud puteri dalam bahasa Sanskrit diangkat antara kanak-kanak biasa setelah melalui beberapa ujian dan akan hidup sebagai dewi di dalam istana.

Baru-baru ini, seorang kanak-kanak berusia 3 tahun telah diangkat menjadi dewi hidup baharu Kathmandu yang dipilih oleh sami-sami Hindu untuk menggantikan dewi hidup sebelumnya yang telah mencapai usia akil baligh.

Memakai pakaian serba merah, kumari baharu, Trishna Shakya diambil dari rumahnya untuk tinggal di sebuah istana di Dataran Durbar di bawah penjagaan penjaga yang dilantik sehingga dia mencapai akil baligh.

Dalam upacara itu, Trishna Shakya diarak oleh bapanya dan beberapa lelaki lain kerana sebagai seorang dewi hidup, dia tidak dibenarkan menyentuh bumi.

Memetik laporan Indiatimes, Trishna meninggalkan seorang saudara kembar, Krishna yang menangis ketika kakaknya diambil dari rumah keluarga.

Sebagai kumari, Trishna dianggap sebagai kewujudan semula dewi Hindu Taleju dan hanya akan dibenarkan keluar dari kuil 13 kali setahun pada hari raya istimewa.

Tradisi kumari berasal dari masyarakat Newar yang berasal dari Lembah Kathmandu. Amalan ini pernah dikait rapat dengan keluarga diraja tetapi telah berterusan meskipun berakhirnya monarki Hindu Nepal pada tahun 2008.

Kriteria pemilihan untuk calon kumari adalah sangat ketat dan termasuk beberapa sifat fizikal tertentu seperti badan yang tiada cacat cela, dada seperti singa dan paha seperti rusa.

Walaupun seorang gadis memenuhi semua keperluan fizikal, dia mesti membuktikan keberaniannya dengan tidak menangis ketika melihat kerbau yang dikorbankan.

Tradisi ini telah mendapat kritikan daripada aktivis hak kanak-kanak yang mengatakan kumari meragut zaman kanak-kanak seseorang dan pengasingan mereka dari masyarakat menghalang pendidikan dan perkembangan mereka.

Pada tahun 2008, Mahkamah Agung Nepal memerintahkan dewi hidup harus dididik dan kini mereka diajar di dalam istana tempat mereka tinggal dan dibenarkan mengambil ujian mereka di sana.

Matina Shakya, 12, kumari yang telah tamat tempoh perkhidmatannya, meninggalkan istana untuk pulang ke rumahnya yang ditinggalkan pada tahun 2008 sejurus selepas Trishna tiba untuk mengambil alih takhta.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker