Antarabangsa

Wartawan Jepun Meninggal Dunia Akibat Bekerja 159 Jam Lebih Masa

Orang Jepun yang terkenal dengan etika kerja mereka memahami betapa pentingnya disiplin dan komitmen, terutama ketika bekerja dalam persekitaran yang kompetitif. Tetapi kini, bekerja terlalu kuat telah mencapai titik genting di Jepun.

 

Malah, Japan Times melaporkan bahawa empat tahun lalu seorang wartawan politik berusia 31 tahun yang bernama Miwa Sado meninggal dunia akibat kegagalan jantung kongestif selepas bekerja selama 159 jam lebih masa (overtime) dalam tempoh sebulan. Ia mencatatkan purata 5.9 jam lebih masa untuk setiap hari.

Jadual kerja beliau adalah lebih mengejutkan apabila diketahui wartawan NHK tersebut hanya mengambil masa dua hari cuti sebelum kematiannya. Ia dilaporkan bahawa Sado bertanggungjawab untuk membuat liputan tentang dua pilihan raya daripada bulan Jun hingga Julai 2013.

Tetapi hanya tiga hari sebelum Pilihan Raya Dewan Tertinggi, AFP melaporkan bahawa Sado dijumpai mati di atas katilnya pada 24 Julai 2013 dengan telefon bimbitnya masih dalam genggaman.

Berikutan kematian Sado, seorang pegawai kanan di Jabatan Berita NHK, Masahiko Yamauchi, mendedahkan bahawa kebiasaan bekerja keras bukan satu masalah yang dihadapi oleh Sado, tetapi “masalah untuk organisasi kami secara keseluruhan, termasuk sistem buruh dan bagaimana liputan pilihan raya dibuat.”

Japan Times menekankan bahawa ia mengambil masa selama tiga tahun untuk kes itu didedahkan kepada umum kerana syarikat itu menghormati kehendak keluarga Sado.

“Walaupun hari ini, empat tahun selepas kejadian itu, kami tidak dapat menerima kematian anak perempuan kami sebagai kenyataan,” kata ibu bapa beliau menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh NHK.

“Kami berharap kesedihan keluarga itu tidak akan sia-sia.”

Dilaporkan bahawa Jepun tidak mempunyai undang-undang untuk had waktu bekerja. Menurut sebuah kaji selidik rakyat , satu daripada lima pekerja Jepun berisiko ‘karoshi’ (mati akibat kerja keras) kerana mereka mempunyai kecenderungan untuk bekerja lebih daripada 80 jam lebih masa sebulan.

Di samping itu, kaji selidik tersebut juga menunjukkan bahawa masalah yang berkaitan dengan tekanan kerja telah menyebabkan kira-kira 2,000 pekerja mengakhiri kehidupan mereka setiap tahun.

Berdasarkan pendedahan yang mengejutkan ini, kerajaan Jepun telah melancarkan kempen untuk menggesa pekerja pulang ke rumah pada pukul 3 petang pada setiap Jumaat yang terakhir setiap bulan sebagai satu cara untuk membendung isu itu.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker