AntarabangsaIsu Semasa

Bukan 1 Bilion, Tetapi Kesemua 3 Bilion Akaun Yahoo Digodam

Baru-baru ini, syarikat Yahoo telah mengesahkan bahawa pencerobohan data pada tahun 2013 itu bukan sahaja menjejaskan 1 bilion akaun pengguna, tetapi kesemua 3 bilion akaun yang ada.

Pendedahan terbaru itu dilakukan oleh Oath, iaitu anak syarikat kepada syarikat telekomunikasi Amerika Syarikat bernama Verizon, yang memperoleh aset atas talian (online) Yahoo pada bulan Jun sebanyak AS$ 4.48 bilion (RM 19 bilion).

Harga pembelian Yahoo juga telah dipotong selepas pendedahan pencerobohan data pada 2013 itu dan kemudian satu lagi serangan pada tahun 2014 yang menjejaskan 500 juta akaun.

Memetik laporan Sky News, dua orang penggodam dan pegawai perisik Rusia didakwa menjadi dalang disebalik serangan siber berkenaan.

Mengenai serangan pada tahun 2013, Oath dan Verizon menyatakan bahawa terdapat akaun pengguna tambahan yang turut terkesan oleh penggodaman itu.

New York Times pula melaporkan bahawa pada tahun lepas, Yahoo menyangka bahawa hanya 1 bilion daripada tiga bilion penggunanya telah menjadi mangsa.

Tetapi, selepas syarikat itu dibeli oleh Verizon, mereka mempercayai bahawa kesemua 3 bilion akaun pengguna itu telah digodam berikutan sebuah siasatan yang dilaksanakan dengan bantuan pakar forensik luar.

“Sementara ini bukan isu keselamatan yang baru, Yahoo telah menghantar e-mel kepada akaun pengguna tambahan yang terjejas,” kata Verizon.

Walau bagaimanapun, pengguna bernasib baik kerana penggodam hanya berjaya mencuri maklumat-maklumat asas, tetapi tidak termasuk kata laluan dan maklumat kewangan atau akaun bank.

“Siasatan menunjukkan bahawa maklumat pengguna akaun yang dicuri tidak termasuk kata laluan dalam teks yang jelas, data pembayaran kad, atau maklumat akaun bank,” ujar syarikat itu lagi sambil menambah bahawa mereka akan terus bekerjasama rapat dengan penguatkuasa undang-undang.

Menurut Chandra McMahon, ketua pegawai maklumat keselamatan di Verizon, pelaburan syarikat berkenaan di dalam Yahoo membolehkan pasukan mereka untuk mengambil langkah-langkah penting dalam usaha meningkatkan keselamatan serta mendapat manfaat daripada pengalaman dan sumber Verizon.

Pencerobohan data Yahoo dipercayai sebagai penggodaman terbesar dari segi jumlah individu yang terkesan, walaupun kes penggodaman terbaru yang melibatkan agensi kredit bernama Equifax dilihat lebih teruk kerana data-data sensitif yang diperoleh penjenayah siber.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker