Isu SemasaTempatan

Ramai Pemandu Teksi Dan E-Hailing Masih Belum Daftar Perkeso

Di Kedah, masih ramai pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing seperti Uber dan GrabCar yang masih belum mendaftar untuk mencarum di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri.

Ia amat penting bagi pemandu-pemandu yang menawarkan perkhidmatan seperti itu untuk mendaftar kerana pelbagai faedah perlindungan yang disediakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk melindungi pemandu sekiranya berlaku sebarang musibah.

Menurut Exco Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, Datuk Sorbarina Mohd Noor, perkara ini sangat membimbangkan kerana skim yang diperkenalkan pada bulan Jun lalu masih tidak menyaksikan pendaftaran yang banyak.

Memetik laporan Sinar Harian, Norsabrina menyatakan bahawa pemandu yang membuat caruman di setiap daerah di negeri itu adalah di bawa 10 orang, berdasarkan maklumat yang diperoleh dari Perkeso Kedah.

“Jadi, bilangan pemandu bekerja sendiri yang membuat caruman untuk skim ini masih sedikit berbanding jumlah keseluruhan pemandu, sekitar 2,000 di seluruh negeri,” katanya.

Lebih mengecewakan, Perkeso Kedah telah memberi taklimat mengenai skim tersebut kepada sebilangan pemandu teksi, Uber dan GrabCar, namun mereka masih belum tampil untuk melakukan pendaftaran.

Difahamkan, ramai pemandu masih belum berbuat demikian mungkin kerana mereka “skeptikal” dengan faedah yang ditawarkan, di mana mereka bimbang sama ada akan diberi pulangan bayaran faedah yang setimpal atau pun tidak jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini, seperti kemalangan.

“Kebanyakan dilihat mengambil sikap tunggu dan lihat untuk memastikan pemandu terlibat kemalangan menerima pulangan setimpal bayaran faedah ataupun tidak,” katanya.

Jelas Norsabrina, pemandu-pemandu yang membuat caruman tidak perlu bimbang kerana mereka memang akan diberi bayaran faedah berkenaan sekiranya apa-apa berlaku kepada mereka.

Malah, pencarum hanya perlu membayar kos serendah RM 13 sebulan bagi menikmati pelbagai faedah yang ditawarkan oleh Perkeso.

Faedah-faedah yang disediakan dalam skim tersebut termasuk faedah perubatan, hilang upaya sementara, dan hilang upaya kekal, pengebumian dan manfaat tanggungan (pencen).

Untuk memudahkan golongan pemandu yang bekerja dengan sendiri ini, Perkeso turut menyediakan perkhidmatan bayaran tunai untuk caruman di bawah skim tesebut selain daripada secara dalam talian.

Ujar Norsabrina, pihak Perkeso juga sentiasa komited untuk memberi taklimat, advokasi, kempen dan sanggup turun padang untuk bertemu persatuan teksi bagi memberi penjelasan dan maklumat lebih lanjut mengenai skim berkenaan.

Oleh itu, beliau menasihatkan supaya pemandu teksi, Uber dan GrabCar untuk membuat caruman dengan segera supaya dapat menikmati faedah perlindungan keselamatan sosial yang disediakan.

Untuk maklumat lanjut, para pemandu boleh mengunjungi Pejabat Perkeso daerah masing-masing atau terus melayari laman web Perkeso.

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker