#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


China Akan Tutup Semua Syarikat Korea Utara


 

Pada Khamis lepas, China telah mengarahkan semua syarikat perniagaan Korea Utara di negara itu untuk tutup pada bulan Januari 2018.

Langkah itu merupakan sekatan terbaru Beijing terhadap rejim tersebut yang masih ‘berdegil’ untuk meneruskan program nuklear dan peluru berpandu mereka.

Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan berkata, syarikat-syarikat Korea Utara, termasuk usahasama dengan syarikat China, mempunyai 120 hari untuk menutup perniagaan mereka dari tarikh resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mula dikuatkuasakan pada 11 September.

CHINA RAKAN DAGANG UTAMA KOREA UTARA

China merupakan rakan dagang utama Korea Utara, dan Beijing memainkan peranan yang amat besar dalam mementukan kejayaan sekatan-sekatan yang dikenakan terhadap Pyongyang untuk memastikan mereka menghentikan program senjatanya.

Dalam pada itu, China juga menjadi pelindung diplomatik rejim itu, tetapi mereka tetap melaksanakan sekatan kerana kecewa dengan kerajaan pimpinan Kim Jong-un.

Memetik laporan Al-Jazeera, sekatan terbaru yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB turut melarang negara-negara anggota daripada mengadakan usahasama dengan Korea Utara.

JENIS SEKATAN YANG DIKENAKAN

Kini, sekatan itu juga melarang penjualan gas asli kepada Korea Utara dan juga pembelian eksport tekstil negara itu, yang juga merupakan pendapatan utamanya.

China, sebagai negara yang menyediakan sebahagian besar bekalan tenaga kepada Korea Utara, mengumumkan pada hari Sabtu bahawa ia akan menghentikan pembekalan gas asli dan mengehadkan penghantaran produk petroleum yang ditapis, mulai 1 Januari tahun depan.

Dengan sekatan terbaru ini, Pyongyang dianggarkan akan mengalami kerugian sebanyak AS$ 800 juta (RM 3.3 bilion ) setiap tahun daripada eksport tekstil, dan tambahan AS$ 500 juta (RM 2.1 bilion).

South China Morning Post melaporkan bahawa di China, perniagaan-perniagaan Korea Utara khususnya dalam industri restoran akan terkesan dengan sekatan ini.

Terdapat kira-kira 100 buah restoran yang dimiliki oleh warga Korea Utara, termasuk 26 di ibu kota Beijing.

Di antara tahun 2015 dan 2016, rejim tersebut telah melakukan pelaburan langsung di China sebanyak AS$ 22 juta (RM 93 juta).

Sejak awal bulan September, China juga telah melarang import arang batu, bijih besi, bijih timah dan juga makanan laut di Korea Utara.

TEKANAN DARI AMERIKA SYARIKAT

Amerika Syarikat (AS) telah menekan China untuk menggunakan kekuasaan ekonomi mereka untuk memaksa Korea Utara menghentikan program nuklear mereka.

Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson juga telah melawat Beijing pada hujung minggu lalu untuk mengadakan perbincangan dengan diplomat kanan China, Yang Jiechi dan Menteri Luar, Wang Yi.

Tillerson membincangkan ketegangan nuklear Korea Utara, isu perdagangan dan rancangan Presiden Donald Trump untuk melawat China pada bulan November.

Trump juga akan melawat Jepun dan Korea Selatan.

 

 

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.