Isu SemasaPolitikTempatan

SPR Cadangkan Kotak Undi Mudah Alih

Pada bulan lepas (September), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbang untuk memperkenalkan kotak undian mudah alih yang akan dibawa ke kawasan-kawasan yang mempunyai pengundi-pengundi yang mengalami masalah mobiliti seperti golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, satu lagi langkah yang akan diambil oleh pihaknya adalah untuk memasukkan lebih ramai pengundi yang bertugas pada hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ke dalam kategori pengundi pos.

Golongan tersebut termasuk para doktor, jururawat, pemandu ambulans, anggota bomba, penjaga penjara dan juga kakitangan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Semua yang kita lakukan adalah berpandukan Akta Perlembagaan dan Pilihan Raya, jadi sebarang langkah baru yang melibatkan pemindaan Akta perlu dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

“Walau bagaimanapun, sekiranya cadangan hanya melibatkan langkah-langkah melibatkan pentadbiran, ia boleh dikemukakan ke panel SPR untuk memutuskannya. Seperti kedua-dua cadangan ini, kami perlu mempertimbang untuk membantu pengundi,” katanya.

Memetik laporan The Star, kini, pengundian pos hanya dibenarkan untuk pengundi luar negara yang layak, penjawat awam yang bekerja di luar negara, pelajar sepenuh-masa di luar negara serta pasangan mereka, pekerja SPR, kakitangan media, polis dan juga kakitangan tentera.

“Sebagai contoh, terdapat tiga calon yang bertanding untuk kerusi parlimen Putrajaya, setiap wakil calon boleh  menemati kakitangan SPR sewaktu kami mengambil kotak undi dari satu apartment ke tempat seterusnya,” ujarnya.

Tambah Hashim lagi, kotak undi mudah alih itu juga akan menjadi lebih berguna di kawasan-kawasan pedalaman, di mana sesetengah pengundi warga emas dan OKU menetap jauh daripada pusat-pusat pengundian.

Dalam mengembangkan lagi golongan yang layak untuk undi pos, beliau menyatakan bahawa SPR telah menerima permohonan daripada pelbagai agensi kerajaan yang menggesa suruhanjaya itu untuk memberi keistimewaan kepada kakitangan mereka.

Rakyat Malaysia yang berada di luar negara juga memberikan respon yang positif mengenai cadangan undi pos tersebut.

Selain itu, sistem pengundian semasa akan dikekalkan untuk PRU 14 yang akan datang.

Menurut Hashim, kira-kira 3,732,188 rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum berdaftar sebagai pengundi, dan kebanyakan daripada mereka berusia di antara 21 hingga 39 tahun.

Terdapat 14,622,640 pengundi dalam senarai daftar pemilih yang mempunyai nama-nama pengundi yang berdaftar sehingga akhir bulan Jun pada tahun ini.

Tags
Show More

Related Articles