#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Perancis Lulus RUU Anti-Keganasan Berkontroversi


 

Susulan beberapa siri insiden serangan keganasan yang berlaku di Perancis, majoriti ahli parlimen negara itu menyokong untuk meluluskan rang undang-undang (RUU) anti-keganasan baru, walaupun terdapat pihak yang mengkritik langkah itu akan menjejaskan kebebasan sivil.

RUU tersebut diluluskan apabila meraih 415 undian pada bacaan pertama di dewan rendah parlimen Perancis, setelah ia mendapat kelulusan di dewan tinggi pada bulan Julai.

Oleh itu, beberapa langkah yang telah dikuatkuasakan sepanjang tempoh darurat yang diisytiharkan pada tahun 2015 selepas serangan di Paris akan terus kekal.

RUU itu akan menjadi undang-undang baru secara rasmi sebelum masuk bulan November apabila tamat tempoh darurat.

Polis Perancis – Sumber: www.euronews.com

Di bawah undang-undang tersebut, pihak berkuasa dibenarkan untuk menutup masjid atau mana-mana tempat ibadat lain sekiranya pendakwah disyaki menyebarkan ideologi dan teori berunsur radikal.

Dalam pada itu, sesiapa sahaja yang disyaki menjadi penyokong kumpulan-kumpulan pengganas akan dikurung daripada keluar dari kawasan kejiranan mereka oleh pihak berkuasa tanpa memerlukan kelulusan hakim mahkamah.

Memetik laporan Sky News, pihak polis juga boleh melaksanakan lebih banyak pemeriksaan identiti secara mengejut pada bila-bila masa sahaja dan memperluaskan lagi kawalan sempadan ke sekitar kawasan stesen keretapi antarabangsa, pelabuhan dan juga lapangan terbang.

“Penumpuan kuasa di tangan eksekutif dan pengawasan kehakiman yang semakin lemah bukan satu ciri baru dalam usaha Perancis bagi membanteras keganasan,” kata Benedicte Jeannerod, pengarah Human Rights Watch Perancis.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut membantah RUU tersebut dan telah menghantar surat bantahan kepada kerajaan negara itu pada minggu lepas.

Namun, Menteri Dalam Negeri, Gerard Collomb berkata di parlimen bahawa Perancis masih berada dalam “keadaan perang” dan tahap ancaman keganasan masih kekal pada paras “amat serius”.

Difahamkan, seramai 241 orang telah terkorban dalam serangan-serangan keganasan yang berlaku sejak 2015 di Perancis, di mana 130 daripada kematian itu berlaku ketika serangan Paris pada bulan November pada tahun tersebut.

Berikutan itu, kerajaan mengisytiharkan darurat dan melanjutkan tempoh itu beberapa kali untuk melindungi acara-acara sukan besar serta pilihan raya yang berlangsung beberapa bulan lalu.

Dengan mengambil langkah tersebut, pihak berkuasa telah berjaya menghalang 12 rancangan serangan pengganas pada tahun ini.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.