AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Mengapa Catalonia Mahu Keluar Dari Sepanyol?

Pada hari Ahad (1 Oktober 2017), kerajaan wilayah Catalonia telah mengadakan sebuah referendum (pungutan suara) untuk menuntut kemerdekaan daripada Sepanyol.

Memetik laporan Express UK, hanya 42.6% pengundi (2.26 juta orang) yang layak telah mengundi, di mana 90% daripada jumlah itu memilih Ya sekali gus bersetuju supaya Catalonia keluar daripada Sepanyol.

Tetapi, jumlah tersebut tidak termasuk bilangan undi yang dirampas oleh polis Sepanyol dalam serbuan ganas di seluruh wilayah berkenaan.

Presiden Catalonia, Carles Puigdemont berkata, kerajaannya akan bertindak dalam minggu ini atau minggu depan untuk memulakan proses keluar daripada negara itu.

 

DI MANA TERLETAKNYA CATALONIA?

Catalonia adalah sebuah wilayah berautonomi yang mempunyai perundangan dan eksekutif yang tersendiri.

Wilayah berbentuk tiga segi itu terletak di Timur Laut Sepanyol, dan ia dipisahkan daripada selatan Perancis oleh pergunungan Pyrenean.

Ia mempunyai populasi penduduk seramai 7.5 juta orang yang menetap di 948 bandar yang wujud di sana.

Barcelona merupakan bandar terbesar di wilayah itu yang menempatkan kira-kira 1.6 juta penduduk.

Bandar-bandar lain termasuk Girona, Tarragona dan Lleida.

 

MENGAPA CATALONIA MAHU MENUNTUT KEMERDEKAAN?

Pergerakan kemerdekaan Catalonia berpandangan bahawa wilayah tersebut mempunyai hak untuk menentukan nasib dan hala tuju mereka sendiri kerana ia mempunyai ekonomi yang kukuh, pelbagai kepercayaan politik dan juga kaya dengan budaya.

Ramai rakyat di sana mempercayai bahawa Catalonia lebih banyak menyumbang kepada Sepanyol namun ia tidak mendapat pulangan yang setimpal.

Oleh itu, sokongan untuk mendapatkan kemerdekaan semakin meningkat, tambah-tambah lagi ketika Sepanyol dilanda krisis ekonomi.

 

EKONOMI KUKUH

Tahun lalu, rakyat Catalonia menyumbang sebanyak 19% daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sepanyol, walaupun populasi wilayah itu hanya 16% daripada jumlah penduduk keseluruhan negara itu.

Hasil pendapatan Catalonia pada tahun 2016 adalah €212 billion (RM 1.05 trilion) yang menyamai ekonomi Finland dan Portugal.

Namun, kadar pekerjaan di sana adalah rendah (13.2%) berbanding kawasan-kawasan lain di seluruh Sepanyol (17.2%).

Purata pendapatan di wilayah itu pula adalah €32,200 (RM 159,925) , iaitu €4,600 (RM 22,846) lebih tinggi daripada Sepanyol yang hanya mencatatkan purata €28,600 (RM 142,000).

Tetapi, Catalonia mempunyai hutang yang lebih banyak pada kadar 35% daripada KDNK berbanding 2.8% di Sepanyol.

 

MEMPUNYAI IDENTITI SENDIRI

Catalonia juga mempunyai bendera dan bahasa mereka sendiri yang dikenali sebagai ‘Catalan’ (mempunyai status yang sama rata dengan bahasa Sepanyol).

Ia juga mempunyai kerajaan sendiri sejak Perlembagaan Sepanyol ditandatangani pada tahun 1978.

Sebelum itu, terdapat pemerintahan autonomi pada abad ke 13, 17 dan 20.

Walau bagaimanapun pada tahun 2010, mahkamah perlembagaan Sepanyol mengeluarkan keputusan yang mengehadkan tuntutan rakyat Catalonia untuk menjadikan wilayah itu menjadi negara bebas, sekali gus mencetuskan ombak baru nasionalisme.

Jose Montilla, presiden Catalonia pada waktu itu, menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai “serangan terhadap maruah rakyat Catalonia”.

 

REFERENDUM KEMERDEKAAN “TIDAK SAH”

Menurut laporan BBC, kerajaan Sepanyol menyatakan bahawa referendum tersebut tidak sah di sisi undang-undang negara.

Perdana Menteri, Mariano Rajoy menolak keputusan referendum itu dan menganggap bahawa ia tidak pernah dilaksanakan.

Malah, Raja Sepanyol, Raja Felipe VI berkata, pemimpin-pemimpin Catalonia yang menganjurkan referendum berkenaan “tidak menghormati kuasa kerajaan”.

“Mereka (Catalonia) telah melanggar prinsip demokrasi kedaulatan undang-undang. Hari ini (4 Oktober 2017), masyarakat Catalonia sudah retak,” kata baginda.

Raja Felipe VI turut memberi amaran bahawa referendum itu berisiko untuk menjejaskan ekonomi Catalonia dan juga seluruh Sepanyol.

Namun, baginda menegaskan bahawa Sepanyol “akan mengatasi waktu-waktu yang sukar.”

 

KEGANASAN PADA HARI MENGUNDI

Memandangkan referendum itu dianggap ‘tidak sah’ oleh kerajaan persekutuan Sepanyo, pihak polis telah dihantar ke wilayah itu untuk menghentikan pengundian.

Namun, polis dilaporkan bertindak ganas dengan menembak orang ramai menggunakan peluru getah dan memukul rakyat yang sedang beratur untuk mengundi dalam referendum tersebut.

Pusat-pusat mengundi juga telah dirosakkan dan kotak mengundi dibuang secara paksa.

Selain itu, terdapat juga rakaman video yang menunjukkan pengundi-pengundi warga emas tercedera dan wanita-wanita muda diseret oleh polis dengan menarik rambut mereka.

Kerajaan Catalonia mendakwa kira-kira 844 orang telah tercedera, dan ribuan rakyat wilayah itu mengadakan protes besar-besaran untuk membantah keganasan yang dilakukan oleh polis.

“Serangan terhadap demokrasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini memerlukan tindak balas bersama,” kata Javier Pacheco, setiausaha agung kesatuan Comisiones Obreras di Catalonia.

 

 

Tags
Show More

Related Articles