Isu SemasaTempatan

Tiga Anggota IS Malaysia Pergi Ke Filipina Pada 2014

Pada tahun 2014, tiga orang rakyat Malaysia telah mengadakan ‘misi’ selama 6 hari ke Filipina untuk menubuhkan rangkaian militan IS.

Mereka bercadang untuk pulang semula ke Kuala Lumpur selepas selesai urusan mereka di sana, namun tidak berbuat demikian apabila mendapati bahawa mereka berada dalam senarai individu yang dikehendaki Bukit Aman.

Ketiga-tiga individu tersebut adalah bekas Profesor Universiti Malaya (UM), Dr. Mahmud Ahmad, bekas pegawai Majlis Perbandaran Selayang, Muhammad Joraimee Awang Raimee (Abu Nur) serta Mohd Najib Husen (Abu Anaz), iaitu bekas penjual kedai buku di UM.

Menurut The Star, Joraimee dan Najib dilaporkan telah maut dalam serangan di Mindanao, manakala Dr Mahmud pula masih hidup.

 

KRONOLOGI PERJALANAN MEREKA

Pada bulan April 2014, ketiga-tiga anggota militan itu telah pergi ke Mindanao untuk mengaturkan ‘sesi’ latihan ketenteraan dan mencipta bom bagi militan rakyat Malaysia yang kemudian akan dihantar ke Syria untuk menyertai IS.

Joraimee merupakan ketua rohani di dalam kumpulan yang diketuai oleh Dr Mahmud, di mana dia menyebarkan ajaran militan dan menggalakkan rakyat Malaysia untuk berjuang di Syria.

Akibat gagal menghadirkan diri ke tempat kerja, kontrak pekerjaan Joraimee dengan Majlis Pembandaran Selayang telah dibatalkan pada 27 Mei 2014.

Dua bulan selepas itu (Julai 2014),  wajah ketiga-tiga militan itu terpapar di muka hadapan media-media di Malaysia apabila polis mengumumkan mereka dalam kalangan 5 suspek militan rakyat Malaysia yang berkait dengan IS dan kumpulan pengganas Abu Sayyaf.

Dua orang lagi adalah anggota Darul Islam Sabah bernama Mohd Amin Baco dan Jeknal Adil, dua-dua berasal dari Tawau.

Jadi, kelima-lima suspek itu berkait rapat dengan pengganas Asia Tenggara yang paling dikehendaki, Zukifli Hir (Marwan) yang terbunuh dalam insiden tembak-menembak di Mamasapano di Mindanao pada September 2015.

Tetapi, Dr Mahmud, Joraimee dan Mohd Najib dilihat sentiasa ‘melekat’ dengan Isnilon Hapilon, ketua Abu Sayyaf di Basilan.

Setahun kemudian (2016), mereka berbaiah dan bersumpah taat setia kepada IS bersama Isnilon.

Sumber risikan menyifatkan Dr Mahmud dan Joraimee sebagai ‘tidak boleh dipisahkan’ sambil menambah bahawa mereka berdua berjumpa dengan setiap kumpulan militan yang berkaitan dengan ideologi “Bendera Hitam” di selatan Filipina.

Mereka turut membantu perjalanan militan rakyat Malaysia untuk pergi ke Syria selepas selesai latihan di selatan Filipina dan menggunakan Sabah sebagai ‘pintu belakang’ atau jalan keluar untuk militan.

 

KEMATIAN NAJIB DAN JORAIMEE

Pada bulan Disember 2015, Najib yang merupakan pakar membuat bom, ditembak mati dalam sebuah pertempuran dengan tentera Filipina sebelum Abu Sayyaf dapat melaksanakan rancangan mereka untuk mengebom pusat membeli belah baru di Zamboanga City.

Joraimee dan Dr Mahmud kemudian menyertai kumpulan Maute untuk menyerang Bandar Marawi, di mana mereka berdua adalah pembantu utama Isnilon yang mengetuai serangan itu dengan adik-beradik Maute.

Difahamkan, Joraimee menjadi individu yang paling dipercayai oleh Dr Mahmud semasa bersembunyi di hutan bersama Abu Sayaf di Basilan.

Tetapi, Joraimee serta 14 orang anggota militan lagi dibunuh oleh pasukan keselamatan Filipina pada hari Khamis lalu dalam satu serangan udara semasa tentera mendapat kawalan semula di Masjid Bato, di Bandar Marawi.

Jumaat lepas, ketua tentera wilayah Filipina, Lt-Jen Carlito Galvez berkata, 5 anggota militan utama, termasuk Abdullah Maute dan dua orang pejuang asing

IS telah menjadikan masjid tersebut sebagai pusat kawalan mereka dan kematian Joraimee disahkan oleh sumber risikan Malaysia dan Filipina.

 

PERANCANG UTAMA SERANGAN MARAWI

Joraimee dan Dr Mahmud merupakan antara perancang utama dalam serangan Bandar Marawi pada 23 Mei tahun ini bersama Isnilon dan adik-beradik Maute (Abdullah dan Omarkhayam), yang bermatlamat untuk mewujudkan ‘khalifah’ di Asia Tenggara.

Dr Mahmud juga merupakan “money man” yang membiayai serangan itu, di mana dia dilaporkan menerima lebih daripada RM 500,000 hasil ‘sumbangan’ anggota IS dan para penyokong kumpulan itu.

“Joraimee bekerja rapat dengan Dr Mahmud dan mungkin telah membantu mengumpul dana dan pemindahan kewangan,” kata Sidney Jones, pakar mengenai terorisme yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia.

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker