AntarabangsaIsu Semasa

Perang Dadah Duterte Hanya Bunuh Orang Miskin

Sebuah kajian menunjukkan kebanyakan rakyat Filipina mempercayai bahawa hanya golongan miskin sahaja yang dibunuh dalam kempen perang dadah brutal Presiden Rodrigo Duterte.

Rakyat juga ingin presiden itu untuk mendedahkan identiti raja-raja dadah yang didakwa dan kemudian mengheret mereka ke mahkamah.

Kajian yang dilakukan oleh Social Weather Stations (SWS) itu melibatkan 1,200 orang rakyat Filipina.

Kempen perang dadah Duterte berlangsung selama 15 bulan sejak pelantikannya sebagai presiden dan telah mengorbankan lebih dariapda 3,800 orang.

Namun menurut kumpulan hak asasi manusia, jumlah kematian sebenarnya adalah lebih tinggi dan beberapa aktivis menyatakan bahawa lelaki-lelaki bersenjata yang tidak dikenali telah bekerjasama dengan pihak polis untuk membunuh pengedar dan pengguna dadah.

Tetapi, polis dan kerajaan menolak tuduhan itu sekeras-kerasnya dan menuduh pengkritik mereka hanya ‘membesar-besarkan’ jumlah kematian itu untuk meraih keuntungan politik semata-mata.

Sejak kebelakangan ini, operasi memerangi dadah itu kini diteliti dengan lebih ketat oleh pihak Kongres susulan kes remaja berusia 17 tahun yang dibunuh oleh polis pada 16 Ogos.

Pada hari Isnin, dua orang saksi memberitahu siasatan Senat bahawa mereka menyaksikan sendiri pegawai polis membunuh seorang lagi remaja yang ditahan di kawasan yang sama atas dakwaan merompak.

Dalam kedua-dua pembunuhan itu, polis mendakwa mangsa telah melawan apabila ditahan dan itu membolehkan polis untuk menembak mereka.

Memetik laporan Arab News, Duterte juga berkali-kali menyatakan beliau memiliki sebuah fail yang mempunyai nama 6,000 orang raja dadah di negara itu.

Menurut kajian SWS, 74% responden mahu Duterte mendedahkan senarai itu secara terbuka kepada orang awam.

Selain itu, 60% responden bersetuju dengan kenyataan bahawa hanya pengedar dadah miskin sahaja yang dibunuh oleh pihak polis, namun golongan-golongan ‘elit’ dadah tidak mengalami nasib yang sama.

Duterte juga berang dengan para pengkritik yang menyifatkan kempennya sebagai ‘peperangan menentang golongan miskin.’

Kajian tersebut juga mendapati lebih setengah daripada jumlah keseluruhan responden tidak pasti sama ada polis bercakap benar atau tidak apabila mendakwa kematian dalam perang dadah hanya berlaku apabila suspek melawan apabila ditahan.

28% berpandangan bahawa polis menipu namun suku daripada semua responden menganggap mereka adalah jujur.

 

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker