Tempatan

Milenial Lebih Suka Bercinta Cara Tradisional

Golongan milenial selalunya dilihat sebagai terlalu taksub dengan teknologi. Apabila Tinder mula muncul sebagai pelantar untuk orang yang mencari pasangan, ramai golongan ini yang mencuba dan berharap untuk berjumpa dengan seseorang.

Walaupun mencari pasangan adalah mudah dengan adanya aplikasi ini, kajian menunjukkan belia di Malaysia lebih suka mencari pasangan mereka di luar sana.

Statistik cinta

McCann Truth Central daripada McCann Worldgroup membuat tinjauan, Truth About Youth (TAY), ke atas belia Malaysia.

Tinjuan dibuat di 18 buah negara yang melibatkan 11,000 belia berumur di antara 16 hingga 30 tahun. 2,000 daripadanya adalah belia dari Malaysia.

Hanya 7% daripada belia Malaysia percaya bahawa Tinder sesuai untuk bertemu dengan orang baru, kurang daripada purata global iaitu 12%.

Walaupun ia adalah perkara biasa untuk mencari cinta di atas talian, generasi Y di Malaysia lebih suka mencari pasangan mereka dengan cara tradisional.

Pengarah perancangan McCann Erickson, Nura Yusof berkata kajian menunjukan generasi Y Malaysia lebih konservatif daripada rakan sebaya mereka di luar negara.

Nura berkata mereka lebih percaya kepada cara lama seperti berjumpa di acara sosial.

33% daripada peserta tinjauan berkata mereka merasai ciuman pertama mereka pada umur 10 hingga 20 tahun.

Manakala 57% lagi merasainya pada umur 20 hingga 30 tahun.

69% daripada belia Malaysia dalam tinjauan ini tidak bersetuju dengan menggunakan aplikasi ini untuk tujuan pertemuan satu malam (one night stand) sahaja.

Cinta berputik

Apa yang menarik ialah 61% daripada mereka yang berumur di bawah 25 tahun adalah yang paling romantik di antara peringkat umur yang lain.

Mereka lebih senang menunjukkan perasaan dan melakukan apa sahaja untuk menggembirakan pasangan mereka.

Sikap mereka ini dipengaruhi oleh pelbagai pihak, terutamanya media hiburan.

Baik dan buruk bercinta di atas talian

Membuat keputusan di atas talian adalah sukar kerana maklumat yang tidak mencukupi dan mereka lebih tertumpu kepada bentuk badan daripada maklumat peribadi, kata Elaine Fernandez, pakar psikologi sosial.

Tambahnya lagi, jika berjumpa secara berdepan untuk mengenali seseorang itu sekurang-kurangnya memerlukan komitmen.

Kajian menunjukkan oleh kerana pengguna tidak mengenali antara satu sama lain di alam maya, mereka lebih cenderung untuk menceritakan segalanya tentang diri mereka lebih lagi daripada jika mereka berjumpa depan-depan.

Ini membuatkan mereka sangat rapat di atas talian dan ianya akan membantu ketika mereka bersemuka buat kali pertama kelak.

Dari segi kekekalan hubungan, kajian mendapati hubungan tradisional lebih tahan lama, tetapi ia bergantung kepada kualiti hubungan itu.

Hubungan atas talian juga berpotensi untuk kekal, asalkan hubungan itu disertai dengan kepercayaan, komitmen dan keintiman yang tinggi.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker