Isu SemasaTempatan

Air Ketum Semakin ‘Popular’ Dalam Kalangan Belia

Meminum air ketum yang dicampur ubat batuk serta minuman berkarbonat telah menjadi satu ‘trend’ dalam kalangan belia di Malaysia, kerana mereka boleh mengambil ‘minuman campuran’ itu secara terbuka tanpa menimbulkan syak wasangka.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rohayu Ahmad berkata, ramai ibu bapa mungkin tidak menyedari bahawa anak-anak mereka mengambil minuman yang memabukkan di hadapan mereka.

“Ini adalah kerana air ketum dilihat sebagai air tebu, dan ia adalah perkara biasa bagi orang muda untuk meminum minuman berkarbonat,” katanya.

 

AMBIL PIL KUDA LEPAS MINUM KETUMĀ 

Ujian pengesanan yang diadakan di sekolah-sekolah di negeri Kelantan turut menunjukkan peningkatan jumlah pelajar yang disahkan positif steroid pil kuda.

Menurut Rohayu, mengambil pil kuda selepas meminum air ketum akan memberi kesan yang lebih kuat.

“Setakat ini pada tahun ini, 285 orang pelajar sekolah menengah di Kelantan didapati positif untuk pil kuta, berbanding 192 kes yang direkodkan pada tahun lepas,” ujarnya.

Memandangkan jumlah pelajar yang diuji positif pil kuda meningkat dengan drastik, Rohayu menyeru ibu bapa dan penjaga untuk mengambil perhatian apabila anak-anak mereka meminum air berwarna hijau berserta air berkarbonat.

“Daripada 2014 hingga 2016, kami menyaksikan pengurangan dalam bilangan pelajar yang diuji positif pil kuda – daripada 276 ke 246 ke 192 kes.

“Tetapi pada tahun ini, kami merekodkan peningkatan drastik sebanyak 285 kes setakat ini,” ujar beliau.

 

WUJUDKAN KIT UJIAN KETUM

Selain itu, Rohayu menyatakan bahawa terdapat kit ujian sedia ada untuk menentukan barang-barang terlarang secara klinikal seperti pil kuda, ganja dan sebatian dadah sintetik, namun masih tiada kit ujian untuk ketum.

“Kami boleh menguji mereka positif dadah, tetapi bukan ketum,” katanya sambil berharap supaya para penyelidik akan mencipta kit ujian untuk ketum yang mengandungi bahan aktif mitragynine.

Mitragynine adalah satu bahan yang mempunyai elemen psikoaktif dan ia dianggap sebagai pengganti candu.

 

HARGA KETUM AMAT MURAH

Air ketum boleh didapati pada harga yang amat murah.

Rohayu berkata, air ketum dijual serendah RM 5 hingga RM 10, bergantung kepada saiz beg plastik minuman itu.

“Dan ubat batuk pulak dijual pada RM 3 setiap paket. Paket ketuk dan ubat batuk diikat sekali. Pembeli membuat air dengan mencampur kedua-duanya sebelum minum,” kata beliau.

 

KETUM BAKAL DIHARAMKAN SEPENUHNYA

Pada bulan September, Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) untuk mengharamkan penjualan, pemilikan, pengambilan dan penanaman ketum dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada tahun depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Hilmi Yahaya berkata, kementeriannya telah berbincang mengenai cadangan untuk meminda Akta Racun 1952 (disemak semula 1989) bersama Ketua Peguam Negara.

“Pemindaan Akta tersebut akan melibatkan pengharaman sepenuhnya ke atas ketum. Tiada lagi menanam (pokok ketum), meminum dan menjual atau menyimpan daun ketum,” kata beliau.

Memetik laporan The Star, pihak berkuasa berhasrat untuk meminda undang-undang itu untuk mengenakan penalti lebih berat terhadap pesalah yang menyalahgunakan ketum.

Ia termasuk meningkatkan bayaran denda sebanyak 10 kali ganda dan juga menambah tempoh hukuman penjara.

Sejak dua tahun lalu, lebih daripada 14,000 orang telah ditahan di seluruh negara akibat penyalahgunaan ketum.

Hilmi berkata, sementara kementerian pernah cuba untuk menyenaraikan ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya pada masa lalu, tetapi ramai ahli parlimen membantah langkah itu kerana menganggapnya sebagai satu langkah yang terlalu teruk.

Walau bagaimanapun, usaha kerajaan untuk mengharamkan ketum mendapat sokongan padu daripada golongan pakar.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker