AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Jagmeet Singh, Wajah Baru Politik Kanada

Buat julung kalinya dalam sejarah Kanada, seorang ahli politik bukan berkulit putih, Jagmeet Singh, telah dilantik untuk memimpin salah satu daripada tiga parti politik utama di negara itu.

Selain daripada itu, beliau juga merupakan Sikh pertama untuk memegang jawatan tertinggi dalam New Democratic Party (NDP) itu apabila menewaskan 3 calon lain di sebuah konvensyen kepimpinan di Toronto Hotel pada hari Ahad, 1 Oktober 2017.

Di Kanada, antara parti utama lain adalah Conservative Party, Green Party dan Liberal Party.

Ahli politik yang lahir pada tahun 1979 di kawasan kejiranan Toronto itu telah meraih lebih daripada 50% undian oleh anggota-anggota parti NDP sendiri.

Pada tahun 2011, beliau merupakan seorang ahli politik di peringkat wilayah yang dilantik di Dewan Perundangan Ontario untuk mewakili komuniti Toronto.

Kini berusia 38 tahun, Singh juga berjaya menarik perhatian majalah-majalah fesyen kerana pemakaiannya yang unik dan menarik sehingga beliau dimasukkan ke dalam majalah lelaki GQ pada awal tahun ini.

Majalah tersebut menyifatkan pemimpin muda itu sebagai bakat baru yang bersinar dalam arena politik Kanada yang berketrampilan kemas.

Selain itu, antara kelebihannya yang luar biasa adalah beliau boleh bertutur dalam tiga bahasa dengan fasih, iaitu Perancis, Punjabi dan juga Bahasa Inggeris.

Ketika zaman persekolahannya (sekolah menengah), Singh merupakan kapten kumpulan gusti dan mempelajari ilmu mempertahankan diri selepas dibuli.

Semasa menyampaikan ucapannya baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa kemenangannya dalam kepimpinan parti NDP (parti berhaluan kiri di Kanada), berjaya melakar sejarah baru.

“Membesar dengan berkulit coklat, rambut panjang dan nama yang kelakar bermakna saya telah menghadapi beberapa cabaran,” katanya.

Susulan kemenangannya, Singh turut menekankan beberapa perkara penting yang perlu ditangani, termasuk isu ketidaksamarataan pendapatan, jurang pembayaran ekuiti di antara lelaki dan wanita, kemampuan memiliki rumah serta perubahan iklim.

“Untuk menggerakkan isu-isu ini, untuk benar-benar menjadikan hidup rakyat Kanada lebih baik, kami (NDP) terhutang budi kepada rakyat Kanada untuk membentuk sebuah kerajaan, kita terhutang budi kepada mereka,” kata beliau.

Tags
Show More

Related Articles