AntarabangsaIsu Semasa

Demi ‘Menyelamatkan’ Diri, Militan IS Menyamar Jadi Orang Awam

Susulan operasi ketenteraan yang dilancarkan oleh tentera Iraq untuk menghapuskan militan IS daripada kubu kuat utama mereka di negara itu, beratus-ratus pejuang kumpulan itu yang sedang takut mula melarikan diri dengan ‘menyamar’ sebagai orang awam.

Malah, apabila tiba di pusat-pusat pemeriksaan, mereka mengaku diri mereka tidak bersalah dan memohon supaya pihak berkuasa memberi belas kasihan terhadap mereka.

Ramai orang awam daripada kubu kuat IS di bandar Hawija, telah melarikan diri ke Kirkur dan kawasan-kawasan lain di wilayah Kurdish Iraq, dan kebanyakan daripada mereka adalah golongan lelaki muda yang layak untuk berkhidmat dalam tentera.

Menurut pegawai tentera Kurdish Iraq di Kirkuk, 90% daripada lelaki itu disyaki menjadi pejuang-pejuang IS, di mana sesetengah daripada mereka telah melakukan pelbagai kekejaman.

Pegawai tentera juga tidak memberi peluang kepada pejuang-pejuang IS itu dan secara agresif menyoal siasat mereka.

Seorang leftenan di Asayish, perkhidmatan perisikan Iraq di wilayah Kurdish, menyoal siasat seorang anggota IS yang telah ditahan bernama Salah Hassan, 32 tahun.

“Tidak kira apa yang anda lakukan, saya tidak akan mengintip untuk anda,” kata Hassan yang menggelar dirinya sebagai bekas pekerja buruh binaan.

Kemudian, leftenan itu membalas: “kami tidak peduli tentang itu. Bagitahu sahaja kebenaran. Ya, bagi tahu mereka anda adalah IS. Jangan menipu.”

Namun, anggota IS itu kemudian mengakui bahawa dia sebenarnya adalah seorang tukang masak.

Memetik laporan New York Times, leftenan itu menjelaskan bahawa kira-kira 10 orang anggota IS yang ditahan mengaku diri mereka sebagai tukang masak.

Operasi ketenteraan untuk menentang militan IS di bandar Hawija telah bermula pada 21 September dan kini berada di peringkat akhir.

Pegawai Iraq berkata, tentera dan polis sangat hampir untuk mengambil alih semula bandar tersebut yang dipercayai mempunyai 78,000 penduduk, dan hampir 3,000 pejuang IS.

Dalam pada itu, mana-mana pejuang IS yang didapati telah melakukan kekejaman sebelum ini akan dihantar ke mahkamah untuk dibicarakan dan kemudian dijatuhkan hukuman yang sewajarnya berdasarkan kesalahan yang telah dilakukan.

 

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker