Bisnes & Ekonomi

Kejayaan Bill Gates: Tuah Atau Hasil Kerja Keras?

Bill Gates lebih beruntung daripada kita semua ketahui. Beliau mungkin individu yang sangat berbakat yang telah berusaha sehingga berjaya. Daripada individu yang gagal di universiti sehingga menjadi individu terkaya di dunia. Namun, kejayaan luar biasa ini mungkin menerangkan kepada kita tentang pentingnya perkara yang berlaku di luar kawalan kita berbanding pentingnya kemahiran dan ketekunan, dilaporkan oleh BBC.

Tuah memainkan peranan yang penting dalam kejayaan

Kita kerap merasakan mereka yang luar biasa adalah yang paling mahir atau berbakat. Tetapi tanggapan ini adalah kurang tepat. Kebolehan yang luar biasa cenderung berlaku dalam keadaan yang luar biasa. Mereka yang cemerlang sering kali adalah orang yang paling tuah

Ramai memberi layanan terhadap Gates, dan orang-orang yang sangat berjaya seperti beliau dengan memberikan mereka perhatian dan ganjaran yang lumayan kerana daripada mereka kita boleh belajar bagaimana untuk berjaya. Namun, mengandaikan mereka yang berjaya dalam kehidupan disebabkan prestasi sahaja adalah kurang tepat. Sekalipun anda dapat meniru segala perbuatan Gates, anda tidak akan dapat meniru nasib awalnya yang baik.

Latar belakang Gates yang luar biasa

Sebagai contoh, latar belakang kelas atas dan pendidikan swasta Gates membolehkan beliau mendapat pengalaman ‘programming’ tambahan sementara kurang daripada 0.01% daripada generasi beliau mendapat akses menggunakan komputer. Kenalan ibunya dengan pengerusi IBM membolehkannya mendapat kontrak dari syarikat PC yang paling terkemuka ketika itu. Ini sangat penting dalam penubuhan empayar perisiannya.

Ini penting kerana kebanyakan pelanggan yang  pernah menggunakan komputer IBM terpaksa belajar bagaimana menggunakan perisian Microsoft yang datang bersama dengan komputer ini. Keadaan ini memihak kepada Microsoft. Pelanggan lebih cenderung menggunakan Microsoft, bukan kerana perisian mereka yang terbaik, tetapi kerana kebanyakan orang terlalu sibuk untuk belajar bagaimana hendak menggunakan perisian lain.

Sudah tentu, bakat dan usaha Gates memainkan peranan yang penting dalam kejayaan cemerlang Microsoft. Namun, ini sahaja tidak mencukupi dalam mencipta kejayaan yang seperti ini. Bakat dan usaha mungkin kurang penting berbanding keadaan-keadaan tertentu.

Teori Peraturan ‘10 000 Jam’

Mungkin ada yang berpendapat bahawa ramai individu yang luar biasa masih mendapat kemahiran luar biasa menerusi kerja keras, semangat yang luar biasa atau ketekunan, sehingga mereka layak menerima ganjaran dan pujian yang sebegini. Sesetengah mencadangkan bahawa terdapat nombor ajaib untuk mencapai kehebatan  iaitu ‘peraturan sepuluh tahun atau ‘10,000’ jam’. Ramai profesional dan pakar telah memperoleh kemahiran yang luar biasa melalui amalan yang berterusan dan sengaja. Malah, sesi pembelajaran ‘programming’ selama 10,000 jam yang telah dilalui Gates semasa remaja telah diketengahkan sebagai salah satu faktor kejayaannya.

Pentingnya keadaan yang terjadi di luar kawalan individu

Namun analisis terperinci mengenai pakar-pakar ini sering mencadangkan bahawa faktor situasi di luar kawalan  yang terjadi pada individu-individu luar biasa ini juga memainkan peranan penting. Sebagai contoh,  katakanlah tiga juara kebangsaan dalam tenis meja  datang dari kejiranan yang sama di pinggir bandar kecil di salah satu  pekan di England.

Samaada ‘programming’ ataupun permainan ping pong usaha keras sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kejayaan

Ini bukan satu  kebetulan atau kerana mereka hanya memenuhi masa mereka dengan berlatih bermain ping pong. Rupa-rupanya jurulatih tenis meja yang terkenal, Peter Charters,  bersara di pinggir bandar ini. Ramai kanak-kanak yang tinggal di kejiranan yang sama dengan jurulatih yang telah  bersara ini yang tertarik dengan sukan ini kerana beliau dan tiga individu  ini, selepas mengikuti “peraturan 10,000 jam”, bermain dengan cemerlang, termasuk memenangi kejohanan kebangsaan.

Bakat dan usaha mereka tentu saja penting untuk merealisasikan prestasi luar biasa mereka. Namun, tanpa tuah awal mereka (mempunyai jurulatih berkualiti tinggi dan keluarga yang menyokong pilihan mereka), hanya mengamalkan 10,000 jam tanpa maklum balas yang mencukupi tidak mungkin membolehkan seorang kanak-kanak yang dipilih secara rawak untuk menjadi juara kebangsaan.

Menjadikan sifat dermawan  Bill Gates dan Warren Buffet sebagai teladan

Berada di tempat yang betul pada masa yang tepat (mempunyai nasib yang baik pada peringkat awal)  mungkin sangat penting  sehinggakan ia melangkaui merit.

Warren Buffet dan Bill Gates

Dengan pemikiran seperti ini mungkin ada baiknya, kita tidak hanya mengagung-agungkan atau meniru mereka yang berjaya dalam kehidupan dan mengharapkan kejayaan yang sama. Namun mungkin orang ramai perlu meniru teladan yang dipamerkan individu seperti Gates (seorang dermawan) atau Warren Buffett (yang mempertahankan bahawa rakyat Amerika yang lebih kaya perlu membayar cukai yang lebih tinggi).

Mereka memilih untuk menggunakan kekayaan dan kejayaan mereka untuk melakukan kebaikan.  Individu yang menghargai nasib baik mereka dan mengunakan kelebihan yang mereka ada untuk melakukan kebaikan mungkin lebih berhak menerima penghormatan kita.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close