Isu SemasaTempatan

Graduan Berkemahiran Pemangkin Masa Hadapan Negara

Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan menjadi sebuah platform untuk menghasilkan lebih banyak tenaga mahir bagi negara apabila ia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020, kata ADUN Samalaju, Majang Renggi.

2017 sebagai tahun TVET

Menyedari kepentingan TVET, kerajaan,  katanya telah mengumumkan tahun ini (2017) tahun TVET, lapor Borneo Post.

Berucap di majlis pembukaan Karnival Kerjaya Kolej Vokasional Bintulu 2017, beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia ke-11, kurikulum TVET telah dipertingkatkan lagi untuk menghasilkan pelajar yang lebih berkualiti dan memenuhi keperluan industri.

“Kurikulum TVET akan memberi tumpuan kepada peningkatan tahap kreativiti serta kemampuan untuk belajar sendiri dalam kalangan pelajar TVET.

Lahir graduan holistik dari segi kemahiran dan keusahawanan

“Maklumat dari industri akan diambil untuk memastikan graduan kami dapat memenuhi keperluan dan kehendak industri,” katanya.Tambah Majang keusahawanan akan diberi penekanan untuk menggalakkan graduan bekerja sendiri dan lebih berdaya tahan.

Menurutnya permintaan untuk graduan mahir dari kolej vokasional daripada pelbagai sektor industri adalah menggalakkan.

“Sejarah telah tercipta apabila sejumlah 2,273 orang graduan daripada 15 kolej vokasional berjaya menjadi kumpulan pertama untuk menamatkan pengajian mereka dalam bidang kemahiran dan teknikal pada peringkat diploma.

“Ramai graduan telah diambil bekerja di dalam pelbagai agensi. Menariknya, mereka telah berjaya mendapatkan diploma pada usia 19 tahun. Kira-kira 72.3 peratus atau 1,643 graduan daripada kumpulan pertama telah ditawarkan pekerjaan oleh syarikat-syarikat swasta,” katanya.

Pentingnya graduan berkemahiran teknikal terhadap pembangunan negara

Majang berkata, kini lebih banyak sektor sedang mencari graduan yang mempunyai kemahiran teknikal dan vokasional seperti automotif, kimpalan, elektronik dan lain-lain.

“Jadi, negara ini memerlukan modal insan terbaik untuk menyokong pembangunan industri dan teknologi,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pengarah kolej tersebut, En. Jamali Muhamad, pensyarah- pensyarah kanan dan pelajar.

Jamali berkata karnival kerjaya  yang disertai oleh sembilan agensi kerajaan dan swasta, bertujuan untuk mewujudkan kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan pelajar mengenai potensi perjalanan kerjaya mereka.

“Semasa karnival ini, kami juga memberi pendedahan kepada pelajar sekolah tentang program yang ditawarkan oleh Kolej Vokasional Bintulu, terutamanya dalam kursus –kursus yang relevan dan hasil mengikuti kursus tersebut,” katanya.

Beliau percaya TVET mampu menghasilkan ramai pekerja dinamik untuk pelbagai industri.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker