Sukan

Malaysia Tangguh Ke Pyongyang Buat Kali Ke-3

Perlawanan kelayakan Piala Asia AFC 2019 antara Malaysia dan Korea Utara ditangguh lagi buat kali ke-3 pada hari Khamis selepas Kementerian Luar mengeluarkan arahan larangan perjalanan rakyat negara ini untuk melawat republik itu.

Perlawanan Kumpulan B itu sepatutnya berlangsung pada 5 Oktober ini, setelah dijadualkan semula pada 28 Mac dan 8 Jun lalu.

“Kementerian Luar hari ini mengumumkan kepada orang ramai bahawa rakyat Malaysia dilarang daripada memasuki Korea Utara sehingga diberitahu kelak.”

“Keputusan ini dibuat berikutan peningkatan ketegangan di Semenanjung Korea itu beserta krisis ujian peluru berpandu yang diadakan. Larangan perjalanan ini akan dikaji semula setelah keadaan kembali normal.”

Berikutan pengisytiharan tersebut, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengeluarkan kenyataan mengesahkan larangan perjalanan itu.

“AFC hari ini [Khamis] telah dimaklumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengatakan Kementerian Luar Malaysia telah mengeluarkan larangan perjalanan kepada semua rakyat Malaysia daripada memasuki DPR Korea,” katanya.

“Dengan maklumat yang diterima ini, pihak AFC telah menangguhkan perlawanan kelayakan Kumpulan B untuk Piala Asia AFC UAE 2019 diantara DPR Korea dan Malaysia, yang dijadualkan akan berlangsung pada 5 Oktober. Pihak AFC akan merujuk perkara ini kepada jawatankuasa yang berkenaan untuk menentukan status perlawanan ini.”

Perlawanan ini pada mulanya ditangguh kepada bulan Mac kerana ketegangan yang semakin meningkat diantara dua negara ini susulan kematian Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Kumpur (KLIA) pada 13 Febuari yang lalu.

Ia kemudiannya ditangguh lagi buat kali kedua kepada bulan Mei selepas AFC memutuskan bahawa mengembara ke Korea Utara adalah satu risiko keselamatan.

Tetapi badan Asia itu memberikan pelepasan pada awal bulan ini selepas Lubnan bermain di Pyongyang untuk kelayakan Piala Asia tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Kerajaan Korea Utara turut memberikan jaminan keselamatan kepada Malaysia di perlawanan itu nanti, bahkkan mereka turut memberikan laluan penerbangan terus ke Pyongyang kepada Tunku Mahkota Johor, selaku Presiden FAM.

Skuad Malaysia dijadualkan bertolak ke Korea Utara pada 3 Oktober, melalui Singapura dan Beijing.

Jurulatih Malaysia yang berasal dari Sepanyol, Nelo Vingada yang gagal meraih sebarang kemenangan di dalam empat perlawanannya kini akan menumpukan perhatian beliau kepada perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Hong Kong pada 10 Oktober ini.

Malaysia kini menduduki tempat terakhir di dalam Kumpulan B, sementara Korea Utara berada di tempat kedua dengan 2 mata. Kedua-dua negara telah bermain sebanyak 2 perlawanan.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button