AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Ancaman Keganasan Pelampau Kulit Putih Sama Dengan IS

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendedahkan bahawa ancaman keganasan kumpulan supremasi kulit putih (white supremacist) di Amerika Syarikat adalah sama seperti kumpulan-kumpulan pengganas lain seperti IS.

Pengarah baru FBI, Chris Wray berkata, kini terdapat 1,000 siasatan yang sedang dijalankan terhadap kumpulan pengganas tempatan dan juga Islam radikal.

“Kami mengambil kedua-dua kumpulan itu dengan amat serius. Fokus kami adalah mengenai keganasan dan ancaman keganasan terhadap rakyat di negara ini. Itulah kebimbangan kita – ia bukan ideologi,” kata Wray kepada Senator di Captiol Hill.

Isu ancaman kumpulan pelampau kulit putih telah mendapat perhatian baru susulan keganasan yang dilakukan oleh kumpulan neo-Nazi di Virginia City, Charlottesville pada bulan lepas yang menyebabkan kematian seorang wanita muda.

Sejak berkempen di dalam pilihan raya lagi, Presiden Donald Trump amat lantang bersuara dalam mengutuk kegiatan keganasan yang dilakukan oleh pengganas IS.

Namun, beliau kini ‘terperangkap’ dalam kontroversi apabila kelihatan ‘lembab’ dalam mengecam puak neo-Nazi dan superemasi kulit putih yang melakukan keganasan baru-baru ini, dan sebaliknya menyalahkan “semua pihak”.

Menurut laporan The Hill, Wray memberitahu Jawatankuasa Senat Keselamatan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Kerajaan bahawa beliau menganggap ancaman yang ditunjukkan oleh kedua-dua kumpulan sebagai sama rata.

Malah, Senator Demokrat, Claire McCaskill berkata, jumlah serangan yang dilakukan oleh supremasi kulit putih “hampir tiga kali ganda” lebih banyak berbanding jumlah serangan yang dilancarkan oleh kumpulan pengganas lain seperti IS.

“Saya tidak rasa rakyat Amerika memahami tahap ancaman yang ada di negara kita daripada supremasi kulit putih,” kata McCaskill.

Ujar Wray, sebanyak 176 tangkapan keganasan tempatan telah dibuat oleh pihak berkuasa pada tahun lepas.

Dalam pada itu, Senator Demokrat California, Kamala Harris menggesa supaya jawatankuasa itu membuka siasatan terhadap betapa bahayanya kumpulan supremasi kulit putih ini.

“Terdapat sejumlah besar ejen yang bekerja keras dalam subjek itu,” kata Wray bagi membalas kenyataan Harris, sambil memberi jaminan bahawa perkara itu adalah keutamaan pihak berkuasa.

Ini merupakan testimoni awam pertama daripada Wray, sejak beliau silantik menjadi Pengarah FBI pada bulan Ogos selepas Trump memecat bekas pengarah, James Comey pada bulan Mei.

 

Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker