AntarabangsaIsu SemasaPolitik

PM Jepun Bubar Parlimen Untuk Pilihan Raya Mengejut

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe telah membubarkan Dewan Rendah Parlimen pada hari ini bagi melangsungkan pilihan raya mengejut pada 22 Oktober bulan depan.

Memetik laporan BBC, Abe membubarkan parlimen satu tahun lebih awal sebelum penggal pemerintahannya tamat pada tahun 2018.

Beliau dilantik menjadi perdana menteri Jepun pada tahun 2012, di mana partinya, Liberal Democrat Party (LDP) memimpin pakatan pemerintah yang mendominasi parlimen.

Namun, popularitinya mula merudum beberapa bulan lalu susulan skandal yang melibatkan rakan baiknya.

Di dalam skandal tersebut, Abe didakwa melakukan kronisme apabila membantu rakannya bernama Kotaro Kake untuk mendapatkan kelulusan bagi membuka sebuah sekolah veterinar swasta.

Pada waktu itu, populariti Abe dilaporkan jatuh mendadak kepada 26%.

Menurut laporan Time pada bulan Jun, Pengarah Pengajian Asia di Temple University, Jepun, Profesor Jeffery Kingston menyatakan bahawa populariti di bawah 30% digelar sebagai ‘zon kematian’.

“Hanya seorang sahaja perdana menteri Jepun dalam tempoh pasca peperangan telah berjaya pulih daripada kedudukan seperti itu,” kata Kingston.

Walau bagaimanapun, Abe mengambil langkah untuk mengadakan pilihan raya mengejut untuk mendapatkan mandat baru susulan peningkatan popularitinya serta krisis nuklear Korea Utara yang sedang berlangsung.

Populariti perdana menteri itu mula pulih kembali selepas Pyongyang melancarkan dua peluru berpandu balistik melangkaui Jepun, dan pendirian tegas beliau dalam membantah dan menentang perkara itu mendapat sokongan penuh yang baru daripada rakyat.

Untuk menangani krisis ini, Abe bercadang untuk membuat pemindaan perlembagaan negara itu untuk menghidupkan sepenuhnya pasukan pertahanan Jepun secara sah, sekali gus bersedia untuk menghadapi sebarang risiko keselamatan daripada ancaman Korea Utara dan lain-lain.

Tetapi, tindakannya mengadakan pilihan raya mengejut juga dilihat seperti “mengambil kesempatan” terhadap keadaan pihak pembangkang yang sedang lemah.

Namun, Abe kini berhadapan pesaing baru yang juga baru sahaja menubuhkan sebuah parti bernama Party of Hope awal minggu ini.

Parti tersebut dipimpin oleh ahli politik terkemuka di negara itu, Yuriko Koike yang juga merupakan gabenor wanita pertama Tokyo dan bekas pembaca berita.

Beberapa ahli parlimen daripada parti pembangkang utama, Democratic Party, telah ‘membelot’ dan menyertai Party of Hope.

Pada hari Khamis, pemimpin Democratic Party telah mencadangkan kepada anggota-anggota partinya untuk bergabung dan bertanding di bawah Party of Hope untuk mencabar Abe dan parti LDP pimpinan beliau.

 

Show More

Related Articles

Back to top button