AntarabangsaIsu Semasa

Pelajar AS “Diseksa Tanpa Perikemanusiaan” Oleh Korea Utara

Ibu bapa kepada pelajar Amerika Syarikat (AS) yang meninggal dunia selepas dipenjarakan di Korea Utara menyatakan bahawa anak mereka telah “diseksa secara sistematik” dan “dihancurkan” oleh rejim itu.

Pelajar bernama Otto Warmbier itu telah dipenjarakan selepas didapati mencuri papan tanda hotel di negara itu pada tahun 2016 dan meninggal dunia beberapa hari selepas dipindahkan semula ke AS atas sebab kesihatan pada bulan Jun tahun ini.

Fred dan Cindy, ibu bapa kepada pelajar itu berkata, Otto pulang dalam keadaan buta dan pekak selain daripada kepalanya turut dibotakkan.

Otto juga dikatakan hanya “merenung ke atas” dan mengeluarkan suara/bunyi tidak seperti seorang manusia.

Menurut Fred, gigi bawah anaknya juga dilihat seperti ia telah disusun semula menggunakan playar.

“Dalam tempoh dua hari Otto berada di rumah, suhu demamnya melonjak naik ke 104 darjah Fahrenheit (40 darjah Celcius). Dia juga mempunyai parut yang besar di kaki kanannya.

“Korea Utara bukan mangsa. Mereka adalah pengganas,” tegas bapa pelajar itu.

Memetik laporan Sky News, Otto telah dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun berserta kerja berat, dan berada dalam keadaan tidak sedar diri apabila dimasukkan ke University of Cincinnati Medical Centre.

Dalam kenyataan pertama mengenai kematiannya, Pyongyang mendakwa bahawa pelajar berusia 22 tahun itu berada dalam keadaan koma selepas menghidapi penyakit botulisme, sambil menafikan tuduhan menyeksa dan layanan kejam terhadap Otto.

Walau bagaimanapun, Fred menegaskan bahawa anaknya dipulangkan dalam keadaan separuh mati dan ia tidak adil bagi rejim itu untuk berkata bahawa dia berada dalam keadaan koma.

“Otto telah diseksa secara sistematik dan sengaja dicederakan oleh Kim Jong Un dan rejimnya. Ini bukan satu kemalangan,” kata bapanya.

Cindy turut menambah bahawa anaknya itu telah “dihancurkan” dan hanya dibebaskan oleh Korea Utara kerana mereka “tidak mahu dia mati di tanah mereka.”

Dalam pada itu, Presiden Donald Trump turut mengeluarkan kenyataan di laman Twitternya mengenai kes tersebut.

Trump berkata, anak kepada pasangan itu “diseksa tanpa perikemanusiaan oleh Korea Utara”.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Trump semasa beliau memberi amaran bahawa AS bersedia untuk mengambil tindakan ketenteraan untuk menangani ketegangan yang sedang berlaku dengan rejim tersebut.

“Jika kita mengambil pilihan itu (tindakan ketenteraan), ia akan membinasakan, saya boleh memberitahu anda itu, ia membinasakan untuk Korea Utara,” tegas Trump.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker