AntarabangsaIsu Semasa

Militan IS Akan Bertapak Di Pakistan?

Sebuah bendera yang mirip bendera milik kumpulan militan IS dilihat berkibaran di jalan raya utama ibu kota Pakistan, Islamabad baru-baru ini.

Pihak polis kemudian telah membuang bendera tersebut selepas seorang netizen bernama Naveed Ahmed Khan tampil membuat laporan mengenainya.

Walau bagaimanapun, kerajaan Pakistan menegaskan bahawa IS tidak wujud di negara tersebut walaupun kumpulan itu telah mendakwa bertanggungjawab melakukan beberapa siri serangan di seluruh negara.

Kumpulan itu juga mengaku menjadi dalang disebalik penculikan dan pembunuhan dua orang rakyat China pada bulan Jun.

Ketika disoal oleh polis, Khan menyatakan bahawa beliau sedang memandu di Sixth Road di Islamabad apabila ternampak bendera itu.

Khan berkata, beliau mengenali bendera itu kerana pernah melihatnya dalam televisyen sebelum ini.

Dalam pada itu, ayat “Khalifah akan datang” telah ditulis dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab di bendera itu.

Sedar akan isu tersebut, Menteri Dalam Negeri, Ahsan Iqbal telah meminta ketua polis negara untuk memfailkan laporan.

Pegawai polis memberitahu media bahawa mereka masih tidak mengetahui siapa yang memasang bendera tersebut di jalan raya itu.

Memetik laporan Hindustan Times, kes ini telah didaftar di bawah Akta Anti-Keganasan, namun pihak polis setakat ini tidak dapat memungut sebarang maklumat daripada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut kerana ia tidak berfungsi.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat laporan yang mendakwa bahawa risalah mengenai militan IS telah dijumpai di beberapa bahagian dalam negara itu.

Pada bulan Januari tahun lepas, risalah IS telah dijumpai di sekolah perempuan di bandar Gujerat di wilayah Punjab, di mana kumpulan militan itu memberi amaran kepada pihak pentadbiran supaya menutup sekolah tersebut.

3 tahun lalu (2014) pula, terdapat risalah IS yang diedarkan di beberapa bahagian di wilayah Khyber-Pakhtunkhwa, yang menyeru orang ramai untuk menyokong mereka.

Bukan itu sahaja, malah slogan-slogan pro-IS turut ditulis di dinding di beberapa bandar seluruh Pakistan.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button