Sukan

Sorotan Perlawanan EPL Minggu Ke-6 2017/18

Sementara kita menunggu perlawanan di antara Arsenal dan West Bromwich Albion pagi Selasa nanti, kita lihat dahulu beberapa perkara menarik yang terjadi di dalam liga utama Inggeris hujung minggu lepas.

KANE SEMAKIN MENYENGAT

Harry Kane memang sudah biasa menjaringkan gol ketika berdepan dengan kelab-kelab lain dari London. Melihat dari gayanya ketika menang 3-2 menentang West Ham United menunjukkan dia semakin bagus.

Tandukannya ketika menjaringkan gol pembukaan Tottenham Hotspurs menunjukkan betapa cepat dia boleh bertindak mengikut keadaan. Gol keduanya juga tidak kurang hebat apabila dia secara spontan menyambut bola yang ditampan keluar oleh Joe Hart.

Kalau diteruskan begini, Kane boleh memecahkan rekod 260 gol Liga Perdana Inggeris Alan Shearer.

“Dia adalah di antara penyerang terbaik, bukan sahaja di London. Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata. Saya mengaguminya, seperti peminat-peminat dan rakan sepasukan mengaguminya” kata Mauricio Pochettino selepas kemenangan Tottenham Hotspurs minggu lepas.

VARDY PERLU MENGUBAH RUTIN SEPAKAN PENALTINYA

Penjaring gol penalti terbaik di England sejak 20 tahun lalu, seperti Matt Le Tissier, Graham Alexander dan Mario Balotelli lebih mementingkan ketepatan, membidik sudut bawah yang sukar dicapai.

Jamie Vardy, seperti kebanyakan aspek permainannya, memilih kuasa dan kelajuan untuk menjaringkan gol. Dia lebih fokus untuk merembat bola itu sekuat hati, daripada memerhatikan gerak laku dan bahasa badan penjaga gol di hadapan.

Keengganannya untuk menunggu penjaga gol menggerakkan badannya serta tanpa sasaran yang jelas, bermakna kebanyakan sepakan penaltinya terus ke tengah gol. Pada Sabtu lalu, penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet menunjukan hasil jika melakukan kerja rumah.

Kegagalan Vardy itu menyebabkan Leicester City tidak berjaya mendapatkan keputusan seri, dengan tewas 2-3 di laman sendiri. Vardy boleh terus mencuba nasib dengan rembatan tidak terkawal seperti itu, Carlos Tevez juga sering melakukan perkara yang sama, tetapi Vardy perlu ingat bahawa penjaga gol lain juga pasti boleh menjangkakan sepakan deras terus ke tengah gawang gol darinya.

NIASSE MEMBALAS KEPERCAYAAN KOEMAN

Ronald Koeman akhirnya menurunkan Oumar Niasse setelah meminggirkan pemain itu apabila dia tiba di Everton pada musim panas lalu, dan pemain dari Senegal itu terus berjaya menjaringkan 3 gol dalam masa 4 hari.

Niasse menjaringkan 2 gol ketika menentang Bournemouth  apabila dia diturunkan sebagai pemain gantian, dengan larian dan permainan fizikalnya membantu menutup kelemahan skuad utama kelab itu.

Walau bagaimana pun, prestasi Niasse yang baik itu langsung tidak membantu Koeman. Orang ramai mempersoalkan cara pengurusannya setelah kelab itu membelanjakan begitu banyak wang, namun prestasi kelab itu masih tidak bertambah baik.

Kenapa Niasse masih lagi disisihkan apabila Romelu Lukaku dijual? Mengapa Domini Calvert-Lewin perlu menunggu lebih daripada sebulan untuk mendapat tempat di kesebelasan utama sedangkan dia sudah membantu dalam 2 gol Everton sebelum ini. Kenapa menurunkan Cuco Martina dan tidak Jonjoe Kenny?

Kemenangan 2-1 ke atas The Cherries minggu lalu tidak menutup kelemahan Koeman. Dia masih tidak tahu siapa skuad terbaiknya.

LAIN-LAIN

Hat-trick pertama Alvaro Morata untuk Chelsea membantu membenam Stoke City 4-0. Ia adalah pertunjukan yang sangat bergaya menentang tuan rumah. Dengan kemenangan itu, pemain dari Sepanyol itu ingin menyampaikan mesej kepada pencabar-pencabar tahkta liga bahawa Chelsea juga mahukan takhta itu dan akan berlawan bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya.

Tomer Hemed mungkin sudah dijual jika Brighton & Hove Albion berjaya mendapat seorang dua penyerang ketika musim panas lalu, tetapi dia kini menjadi hero The Seagull di dalam kancah liga utama mereka yang pertama. Corak permainannya menjadi tunjang utama ketika menewaskan West Bromwich Albion 3-1 pada awal bulan September, dan gol kemenangannya pada minit ke-51 untuk menewaskan Newcastle United pada Ahad lepas.

ARSENAL VS. WEST BROM

Dua corak permainan yang berbeza akan bertemu di Stadium Emirates apabila corak posesif  Arsene Wenger cuba memecahkan corak defensif Tony Pulis. Arsenal mempunyai kelebihan di dalam perlawanan ini, hanya kehilangan mata di laman sendiri kepada West Bromwich Albian 2 kali (seri 1-1 pada 2004, tewas 3-2 pada 2010) sejak 15 tahun lalu.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close