Hiburan

‘Bisik Pada Langit’ Naskhah Air Mata Wajib Tonton

Industri perfileman sering kali menyogokkan penonton dengan naskhah air mata klise tentang percintaan antara dua jiwa. Namun, filem terbaru karya pengarah hebat Kabir Bhatia, Bisik Pada Langit yang telah menemui penonton pada 21 September lalu, nyata berbeza sekali.

Bisik Pada Langit (BPL) merupakan sebuah naskah air mata yang mengangkat kisah agung seorang ayah terhadap puteri kesayangannya. Pengorbanan seorang ayah untuk membahagiakan anak tiada tandingannya. Mungkin ramai yang terlepas pandang akan hakikat ini, justeru itu naskah ini pasti mampu mengingatkan kita kembali akan kehebatan figura lelaki yang dipanggil ‘ayah’ ini.

Jika bercerita tentang filem yang mengetengahkan isu kekeluargaan, tidak banyak yang berani untuk menghasilkan naskhah begini di layar perak. Namun begitu, jika kita selongkar kehebatan filem Bollywood ‘Kabhi Kushi Kabhi Gham’ yang mendapat sambutan hangat suatu ketika dahulu adalah kerana tema kekeluargaan yang diangkat.

Dibarisi pelakon hebat seperti Jalil Hamid, Ummi Nazeera, Beto Kusyairy, Datin Fadilah Mansor, Na’im Daniel dan Erwin Dawson, filem ini pasti membuatkan jiwa penonton terusik dengan emosi yang dibawakan oleh watak lakonan mereka.

Buktinya, klik sahaja pada hashtag #BisikPadaLangit #WhySoSad dan #MataMasukHabuk di laman Instagram atau Twitter, pastinya terdapat banyak foto dan juga video penonton yang rata-ratanya gagal mengawal perasaan sehingga menangis teresak-esak.

Menurut astro, BPL mengisahkan Wak Selamat (Jalil Hamid) yang dikejutkan dengan berita kemalangan anaknya, Siti Hajar (Ummi Nazeera) yang belajar di Australia. Tidak cukup sekadar memanjatkan doa agar dipermudahkan segalanya, Wak Selamat terus berusaha mencari jalan agar beliau dapat pergi ke Australia untuk melihat sendiri keadaan anak kesayangannya itu.

Di sinilah tercetusnya konflik kekeluargaan dan diapit pula dengan aspek ketulusan sebuah persahabatan, cinta dan ketentuan takdir yang telah tersurat. Namun begitu, adakah usaha Wak Selamat selama ini bakal menemui jalan buntu, dan adakah Siti Hajar akan kembali sedar atau Wak Selamat terlewat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada anaknya?

Tonton Bisik Pada Langit di pawagam berdekatan anda kerana sekental mana pun hati anda, ia pasti terusik ketika diingatkan tentang pengorbanan kedua-dua ibu bapa.

Show More

Related Articles

Back to top button