Isu SemasaTempatan

Keselamatan Negara Adalah Tanggungjawab Bersama

Untuk menangani isu keganasan, setiap pihak termasuk masyarakat, perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan keselamatan negara.

Pakar keselamatan, Munies Pilai berpandangan bahawa pihak polis di Malaysia telah melakukan tugas yang baik dalam membanteras ancaman kumpulan pengganas IS di dalam negara.

Tetapi, adakah orang ramai telah memainkan peranan mereka dengan baik dan cukup?

“Orang ramai perlu lebih berhati-hati. Mereka perlu sentiasa ada dalam keadaan tidak selesa dan jangkaan bahawa sesuatu perkara buruk akan berlaku.

“Hanya kerana sesuatu itu tidak pernah berlaku, tidak bermakna ia tidak boleh berlaku,” kata Munies di dalam ucapannya mengenai “Terrorism: Beyond and Beneath the Tip of the Iceberg – Understanding and Mitigating the Insider Threat” di sebuah persidangan mengenai keselamatan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Laporan The Malay Mail Online memetik Munies sebagai berkata, pihak polis mempunyai sumber yang terhad dan tidak boleh berada di semua tempat.

Ujar beliau, serangan pengganas ada di mana-mana sahaja dan apa yang berbahaya adalah mereka (pengganas) menyelinap masuk dan berkembang secara senyap.

 

PEMIMPIN DAN MASYARAKAT BERGANDING BAHU

Di Singapura, beliau menyatakan bahawa pihak berkuasa di negara itu menggunakan pendekatan “atas ke bawah dan bawah ke atas”, di mana menteri-menteri akan mengadakan perbincangan dan meningkatkan kesedaran mengenai anti-terorisme sementara pusat komuniti dan persatuan rakyat akan mendidik orang ramai.

Oleh itu, Munies mempercayai Malaysia juga perlu menggunakan pendekatan yang serupa dengan mendapatkan ketua kampung dan jawatankuasa kampung kecil untuk sama-sama menangkis keganasan.

Beliau berkata, semua orang perlu bersedia dan usaha ini memerlukan penglibatan seluruh masyarakat.

Dalam pada itu, sesetengah orang pada masa kini mudah terpengaruh oleh video-video yang dimuat naik oleh pengganas di media sosial.

“Apabila mereka ‘like’ sebuah video dan ‘like’ satu lagi video dan seterusnya, pengganas memerhati tindakan tersebut lalu akan berkawan dengan orang itu,” kata beliau.

 

SESIAPA SAHAJA BOLEH MENJADI PENGGANAS

Menurut Munies, kita tidak tahu siapa pengganas dalam kalangan kita, dan ia boleh menjadi sesiapa sahaja, termasuk orang-orang yang dekat bersama kita.

“Anda mungkin mengenali seseorang sebagai kawan atau rakan sekerja tetapi adakah anda mengenali dirinya yang sebenar?”, soal Munies.

Sementara itu, seorang kolumnis di akhbar The Star, Philip Golingai berkata dalam penulisannya bertajuk “The militant might be your neighbour”, bahawa beberapa tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis telah berjaya menghalang plot serangan pengganas dan juga mendedahkan kewujudan Abu Sayyaf di Semenanjung Malaysia.

Anggota militan yang berada di negara kita dikenali sebagai¬†Hajar Abdul Mubin atau nama ‘popularnya’, Abu Asrie.

Pada malam sambutan Hari Kebangsaan, pihak polis telah berjaya menangkap dua orang warga Filipina dan enam rakyat Malaysia di Cheras.

Selepas laporan mengenai tangkapan mereka disiarkan, tentera Filipina mengesahkan bahawa Abu Asrie dan seorang lagi warganegara itu ditahan di kawasan itu.

Menurut tentera Filipina, Abu Asrie, 25, merupakan ketua leftenan Furuji Indama, iaitu ketua puak Abu Sayyaf di negara itu.

 

PLOT SERANGAN MAJLIS PENUTUP SUKAN SEA DAN HARI KEBANGSAAN

Awal bulan ini, Ketua Polis Negara (IGP) baharu, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan berkata, pihak polis telah menerima maklumat risikan bahawa suspek (tidak dinamakan tetapi dipercayai adalah Abu Asrie), merancang untuk melakukan serangan semasa majlis penutup Sukan SEA di Bukit Jalil dan Sambutan Hari Kebangsaan Di Dataran Merdeka.

Tetapi, usaha mereka untuk melancarkan serangan telah gagal sama sekali susulan tindakan pantas yang diambil oleh pasukan polis negara.

“Dia terlibat dalam 6 kes penculikan di warga Filipina dan juga pertempuran menentang tentera Filipina,” katanya sambil menambah bahawa suspek juga bertanggungjawab dalam pembunuhan tebusan Kristian di selatan Filipina pada tahun 2010.

Selain itu, Abu Asrie dipercayai mengadakan pertemuan bersama militan rakyat Malaysia, Dr Mahmud Ahmad, Mohd Najib Hussein dan Muhammad Juraimee Awang Ramlee.

Menurut IGP, suspek menyelinap masuk ke Sandakan, Sabah, dan pergi ke Kuala Lumpar pada bulan Disember 2015.

 

MENJAGA KEAMANAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Pihak polis negara kita ternyata telah melakukan tugasan mereka dengan amat baik sekali dalam menjaga keamanan negara, terutamanya apabila mereka berjaya menggagalkan rancangan serangan yang ingin dilancarkan oleh kumpulan militan.

Tetapi, kita sebagai masyarakat juga perlu menjadi “mata dan telinga” pihak berkuasa dan berganding bahu bersama mereka untuk sama-sama membanteras gejala keganasan yang semakin berleluasa.

Show More

Related Articles

Back to top button