AntarabangsaIsu SemasaPolitik

UK Hentikan Program Latihan Tentera Myanmar

Perdana Menteri Britain, Theresa May telah mengumumkan bahawa United Kingdom (UK) akan menggantung program latihan untuk tentera Myanmar susulan kekejaman yang dilakukan oleh etnik minoriti Rohingya.

Bercakap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, beliau turut menjelaskan UK akan menghentikan semua kegiatan dengan tentera Myanmar sehingga mereka menamatkan tindakan ketenteraan ke atas etnik itu di negeri Rakhine.

“Kami amat bimbang mengenai apa yang sedang berlaku kepada masyarakat Rohingya di Myanmar. Tindakan ketenteraan ke atas mereka perlu berhenti.

“Kita telah lihat terlalu ramai orang yang rentan terpaksa melarikan diri untuk nyawa mereka,” katanya.

May turut menggesa pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi serta kerajaan negara itu untuk mengambil tindakan supaya kekejaman ini dihentikan dengan segera.

Beliau juga telah mengadakan perbincangan mengenai perkara ini bersama Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada hari Isnin.

“Kerajaan British mempercayai bahawa kami perlu menzahirkan kebimbangan kami, dan sebab itu kami akan menghentikan semua kegiatan dan latihan pertahanan tentera Myanmar (yang dilaksanakan oleh) Kementerian Pertahanan sehingga isu ini diselesaikan,” kata beliau pada hari Selasa.

Memetik laporan The Guardian, program latihan tentera UK di Myanmar tidak melibatkan latihan pertempuran, tetapi ia bertujuan untuk memberi pendidikan kepada anggota-anggota tentera mengenai demokrasi, kepimpinan dan Bahasa Inggeris, yang menelan kos kira-kira £305,000 (RM 1.7 juta) pada tahun lepas.

Setelah lama berdiam diri, Suu Kyi yang juga pemenang Anugerah Nobel Keamanan akhirnya bersuara mengenai krisis tersebut pada hari Selasa.

“Kami mengutuk semua pencabulan hak asasi manusia dan keganasan yang menyalahi undang-undang,” kata Suu Kyi sambil menambah bahawa kerajaannya juga komited untuk memulihkan keamanan, kestabilan serta kedaulatan undang-undang di seluruh negara itu.

Kenyataan tersebut mungkin dilihat sebagai satu perkembangan yang ‘positif’ oleh segelintir pemerhati hak asasi manusia antarabangsa, namun ia bukan satu kecaman menyeluruh terhadap tentera seperti yang diharapkan oleh ramai pihak.

Walaupun kerajaan pimpinan Suu Kyi dilantik secara demokrasi, tentera negara itu dilihat masih mendominasi kuasa pentadbiran.

Bulan lepas, Zeid Ra’ad Al Hussein, pegawai kanan PBB dalam hak asasi manusia menyatakan bahawa layanan Myanmar terhadap etnik minoriti Rohingya dilihat sebagai “contoh dalam buku teks” mengenai pembersihan etnik.

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button