AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Iceland: Pilihan Raya Mengejut – Snap Election

Iceland akan mengadakan pilihan raya mengejut pada 28 Oktober bulan depan selepas kerajaan pemerintah ‘tumbang’ akibat sebuah skandal yang melibatkan bapa kepada perdana menteri, Bjarni Benediktsson.

Memetik laporan New York Times, bapa Benediktsson bernama Benedikt Sveinsson, telah menulis sepucuk surat cadangan yang meminta supaya kenalannya, Hjalti Sigurjon Hauksson, diberi pengampunan sivil.

Hauksson telah dijatuhkan hukuman penjara di atas kesalahan merogol dan mencabul anak tirinya selama 12 tahun sehingga mangsa mencapai usia 18 tahun.

Terkejut dengan berita itu, Benediktsson telah meminta supaya parlimen dibubarkan pada hari Isnin dan menetapkan tarikh pilihan raya pada 28 Oktober.

“Saya ingin menegaskan bahawa ia adalah satu kejutan buat saya untuk mengetahui perkara ini. Saya tidak akan menandatangani surat seperti itu dan saya tidak akan mempertahankan tindakan (mencabul dan merogol) seperti itu,” kata beliau.

Kerajaan campurannya mula musnah pada hari Jumaat selepas Bright Future Party menarik semula sokongan mereka akibat skandal yang sedang berlangsung.

Pilihan raya mengejut atau “snap election” adalah pilihan raya yang diadakan lebih awal daripada waktu yang ditetapkan atau sebelum mandat sesebuah kerajaan itu tamat.

Ia boleh dilangsungkan pada bila-bila masa, dan antara situasi yang selalunya menyebabkan pilihan raya ini diadakan adalah jika berlakunya undi tidak percaya terhadap kerajaan pemerintah, seperti skandal-skandal yang melibatkan pemimpin-pemimpin dalam kerajaan.

Selain itu, pilihan raya ini juga boleh dilangsungkan atas budi bicara pemerintah yang yakin bahawa partinya boleh mencapai kemenangan dan meraih sokongan padu rakyat untuk mendapatkan mandat yang baru.

Laporan Bloomberg menyatakan bahawa kerajaan sedia ada Iceland pada masa kini merupakan kerajaan yang paling sekejap memerintah dalam sejarah negara itu sejak mencapai kemerdekaan 7 dekad lalu.

Surat Sveinsson itu dilaporkan telah ditulis sejak bulan Jun tahun lepas, namun ia didedahkan kepada umum pada minggu lepas.

Tetapi, Menteri Kehakiman, Sigridur Andersen berkata, beliau telah memaklumkan kepada perdana menteri mengenainya dua bulan lalu, jadi ini mewujudkan spekulasi bahawa Benediktsson cuba ‘menyorokkan’ perkara itu dan terdapat unsur pecah amanah.

“Saya telah memberi yang terbaik. Salah sebuah parti gabungan bercakap tentang pecah amanah, pengerusi parti lain tidak mengalami pecah amanah.

“Ini adalah sebuah situasi yang tidak boleh dikawal oleh seseorang. Saya rasa sistem parti kecil telah mendedahkan kelemahan besar dalam kejadian ini,” kata Benediktsson.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close