AntarabangsaIsu Semasa

Syarikat Senjata UK Kaut Untung Dari Peperangan Yaman

Syarikat-syarikat senjata United Kingdom (UK) dilaporkan meraih keuntungan lebih daripada £6 bilion (RM 33.9 bilion) hasil urusan perdagangan mereka dengan Arab Saudi yang menggunakan senjata-senjata tersebut dalam peperangan di Yaman.

Menurut pertubuhan amal War Child UK, jumlah pendapatan sebenar daripada urus niaga bersama negara Teluk itu adalah hampir dua kali ganda lebih daripada anggaran sebelumnya, walaupun hanya sekitar  £30 juta (RM 169.9 juta) sahaja yang disalurkan kepada orang awam menerusi resit cukai korporat.

Memetik laporan Independent UK, pertubuhan amal itu menuduh syarikat pengeluar senjata swasta termasuk BAE Systems dan Raytheon “mengaut keuntungan daripada kematian kanak-kanak yang tidak berdosa” dengan menjual peluru berpandu dan peralatan perang kepada gabungan tentera yang diketuai oleh Arab Saudi.

Gabungan tentera itu juga didakwa melakukan jenayah peperangan dan membunuh ribuan orang awam dengan menggunakan bom untuk menentang pemberontak Houthi.

Syarikat BAE Systems – Sumber: moneyweek.com

Rocco Blume, penasihat konflik dan kemanusiaan di War Child berkata, Britain bukan sahaja menjual senjata kepada pasukan Arab Saudi, tetapi juga menyelenggarakannya.

Minggu lepas, sebuah kempen yang menentang perdagangan senjata bernama Campaign Against the Arms Trade mengumumkan bahawa anggaran pendapatan daripada sokongan berterusan syarikat senjata dalam peperangan itu adalah jauh lebih tinggi daripada £3.6 bilion (RM 20.3 bilion).

“Kami semua mahu melihat perdagangan antarabangsa yang produktif, tetapi ini (perdagangan senjata) hanya mendatangkan kerosakan.

“Pendapatan perlu dilihat dalam konteks semua kos lain yang ditanggung dalam perdagangan ini, khususnya reputasi antarabangsa  kita, terutamanya dalam hak asasi manusia,” kata Blume.

Ujar beliau, terdapat unsur “ketidak telusan” dalam penglibatan syarikat-syarikat senjata UK dalam peperangan itu, lebih-lebih lagi kerana perlindungan global untuk kanak-kanak dalam negara-negara berkonflik termasuk Yaman, Syria dan Iraq berada pada tahap yang lemah.

Pada minggu lepas juga, BAE Systems dan Raytheon merupakan antara peserta dalam sebuah pameran senjata bernama Defence and Security Equipment International (DSEI) yang diadakan di London.

Pameran itu disokong oleh menteri-menteri dalam kerajaan serta pegawai-pegawai kanan tentera.

Liam Fox, Setiausaha Perdagangan Antarabangsa, mempertahankan perdagangan yang “beretika” itu di acara tersebut, dengan memberitahu para delegasi bahawa sistem pelesenan Britain memastikan eksport negara itu adalah sah di sisi undang-undang dan UK tidak melanggar undang-undang antarabangsa.

Dalam pada itu, kira-kira 1,300 kanak-kanak dilaporkan telah dibunuh manakala 2,000 lagi tercedera dalam peperangan Yaman yang sudah berlangsung selama 2 tahun.

212 buah sekolah pula telah diserang dan pusat-pusat perubatan dimusnahkan, dan ini meningkatkan risiko jutaan penduduk untuk mengalami kebuluran dan menghidapi penyakit berjangkit kolera.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close